Permohonan pasport secara aplikasi dalam talian My Online Passport yang mula diperkenalkan Jabatan Imigresen tahun lalu khusus bagi memperbaharui pasport antarabangsa masih kurang mendapat sambutan di kalangan rakyat negara ini, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata sehingga Dis ini, pihaknya hanya menerima lebih 10,000 permohonan berbanding jumlah keseluruhan permohonan memperbaharui dan membuat pasport kira-kira 2.5 juta permohonan setahun atau 200,000 sebulan.

“Sebab itu, kita ingin mendidik masyarakat supaya menggunakan aplikasi berkenaan meskipun mengambil masa tiga hari untuk disiapkan tetapi ia boleh mengurangkan kesesakan di pejabat-pejabat Imigresen terutama pada musim cuti sekolah.

“Yang lebih penting, para pelanggan hanya perlu datang ke pejabat serahan setelah verifikasi pasport siap dalam masa 10 hingga 15 minit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Pengeluar Pasport Imigresen Cawangan Besut, di Kampung Raja, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport Jabatan Imigresen, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad dan Pengarah Imigresen Terengganu Rahim Hanaffi.

Jabatan Imigresen mula memperkenalkan aplikasi ini sejak Sept tahun lalu dan membenarkan pelanggan membuat bayaran pembaharuan pasport menerusi kad kredit dan pindahan akaun bank.

Mustafar dalam pada itu berharap agar lebih ramai rakyat menggunakan kemudahan itu kerana ia antara perkhidmatan terbaru yang diwujudkan bagi memudahkan pelanggan memperbaharui pasport berbanding cara konvensional.

“Kita ingin ia disebarluaskan kerana masih ramai yang tidak tahu, termasuk pegawai kerajaan, mengenai kewujudan aplikasi ini yang memudahkan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Mustafar berkata pejabat Imigresen Besut adalah yang ke-76 daripada 96 buah pejabat yang dilengkapi perkhidmatan penyerahan pasport di seluruh negara.

“Sebelum ini, pejabat ini hanya menerima permohonan membuat dan memperbaharui pasport.

“Namun, kita mempunyai permintaan yang tinggi terhadap pengeluaran pasport baharu di daerah ini, jadi tidak praktikal jika para pelanggan terpaksa menunggu hingga tiga hari untuk menerima pasport kerana Besut di tengah, jarak pejabat pengeluaran pasport di Kuala Terengganu dan Kota Baharu (Kelantan) terlalu jauh.

“Bila perkhidmatan itu diwujudkan di sini, kita bukan sahaja memudahkan pelanggan dari negeri ini malah pelanggan yang tinggal bersempadan dengan negeri ini,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR