Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang membuka dua bilik gerakan di Cameron Highlands bagi membantu kempen calon DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi parlimen tersebut.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang Fuziah Salleh berkata dua bilik gerakan itu di Tanah Rata, yang dipimpin Ketua Cabang Cameron Highlands, Tan Wei Wun dan di Jelai, diketuai oleh Ketua Cabang Lipis, Rizal Jamin.

“Ketetapan PKR Pahang adalah untuk memberi sokongan padu kepada calon DAP dan kita tidak akan menuntut kerusi Parlimen itu. Pemilihan dua kawasan untuk membuka bilik gerakan juga dibuat kerana kekuatan kita memandangkan terdapat ramai pengundi Orang Asli di situ.

“Kita juga telah memulakan gerak kerja awalan dan berdasarkan pengalaman di Port Dickson, terdapat peningkatan dalam penubuhan ranting di situ selepas tamat PRK… yang kita harapkan berlaku juga di Cameron Highlands,” katanya.

Fuziah berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MPN pertama beliau selaku pengerusi MPN di sini hari ini, yang disertai 10 daripada 14 ketua cabang manakala bakinya tidak hadir kerana urusan yang tidak dapat dielakkan.

Beliau juga secara peribadi, menyifatkan PRK Cameron Highlands sebagai ‘medan ujian pertama’ kepadanya, namun yakin PKR Pahang dapat menyumbang kepada kemenangan PH atas dasar kerjasama daripada semua ketua cabang dan anggota parti.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Datuk C. Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) terbatal dan tidak sah ekoran berlaku unsur rasuah untuk mendapatkan undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Jan sebagai tarikh penamaan calon manakala hari pengundian pada 26 Jan depan.

Dalam perkembangan lain, Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata ‘tiada istilah berbulan madu’ untuk PKR Pahang selepas PRU14 kerana mereka perlu mengatur gerak kerja dan strategi untuk menawan negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, gerak kerja itu akan bermula pada Januari 2019 dan antara keutamaan adalah menambah keanggotaan di Pahang, yang setakat ini, seramai kira-kira 25,000 orang.

“Kita akan membuat penilaian setiap tiga bulan dari aspek penambahan keanggotaan, penambahan ranting dan penambahan pengundi baharu supaya dapat merangka strategi berkesan dan melihat potensi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

“Strategi kerja yang efektif membolehkan kita lebih berjaya… seperti di Kuantan, terdapat peningkatan mendadak dalam penubuhan ranting yang kini berjumlah 25, sedangkan sebelum ini hanya separuh daripada jumlah itu.

“Penambahan ranting membolehkan kita menawan lebih banyak DUN pada pilihan raya umum akan datang kerana selepas diaudit (keputusan PRU14) ada beberapa DUN yang kita tewas dalam jumlah yang kecil,” katanya.

Pada PRU14, PKR Pahang bertanding 14 daripada 42 kerusi DUN. PKR menang di DUN Semambu dan Teruntum.

Sementara itu, Rizal mewakili 12 ketua cabang di Pahang menyatakan sokongan penuh kepada Fuziah untuk mengetuai pimpinan negeri dan melahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman atas kepimpinan beliau sebelum ini.

Beliau berkata, dua lagi Ketua Cabang iaitu Bera Zakaria Abdul Hamid dan Bentong Dasimah Zainuddin tidak dapat menyatakan sokongan kepada Fuziah buat masa ini, kerana berada di luar negara.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR