Tiga pasangan pengantin dari Kampung Seberang Alor, Hutan Kampung, di sini, cukup bertuah apabila diraikan serentak dalam program Majlis Walimatulurus Perdana, yang sangat meriah hari ini.

Walaupun program anjuran Kelab Kebajikan dan Rekreasi Kampung Seberang Alor itu dibuat secara sederhana, namun kira-kira 500 tetamu hadir untuk meraikan hari bahagia pasangan Nur Atirah Saiful Anuar, 21, dan Zulkifli Mustafa, 21; Muhd Amirul Faiz Mohd Zamri, 24 dan Amiza Jamil, 22; serta  Amirul Othman, 31, dan Fatin Sofie Aina Narzeman, 20.

Pengerusi kelab tersebut Mohmad Nasir Ismail berkata, program itu julung kali diadakan dengan kerjasama Surau An-Nahdlatul Al-Islamiyyah, di sini, bertujuan membantu golongan muda yang ingin mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana.

“Selalunya, apabila hendak buat majlis perkahwinan memerlukan kos tinggi yang boleh mencecah sehingga RM15,000 ke RM20,000. Jadi kita (kelab) bersama kariah surau telah mengadakan mesyuarat fikir bagaimana boleh bantu tiga pasangan pengantin ini untuk buat kenduri tanpa membebankan mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis itu.

Menurut Mohmad Nasir, setiap pasangan pengantin yang menyertai majlis itu hanya dikenakan bayaran sebanyak RM500 sahaja, sementara perbelanjaan untuk majlis perkahwinan ditanggung sepenuhnya menerusi sumbangan pelbagai pihak.

“Kos keseluruhan majlis ini berjumlah RM16,000 di mana kita berjaya mengumpulkan wang tersebut dalam tempoh dua bulan menerusi sumbangan pelbagai pihak termasuk daripada Anggota Parlimen dan agensi kerajaan,” katanya.

Katanya, majlis itu sepatutnya disertai lima pasangan, namun pihaknya terpaksa memilih tiga pasangan sahaja memandangkan lokasi majlis perkahwinan itu tidak mampu menampung kehadiran tetamu daripada pihak lima pasangan pengantin.

Terdahulu, majlis yang diadakan di perkarangan Surau An-Nahdlatul Al-Islamiyyah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz yang juga Anggota Parlimen Pokok Sena berkata usaha yang dilakukan oleh kelab dan surau di tersebut sangat baik bagi merealisasikan impian tiga pasangan mempelai tersebut untuk mengadakan majlis dengan kos yang sedikit.

“Sekarang nak buat majlis makan kos yang besar jadi saya harap usaha ini akan diteruskan dan tidak perlu buat majlis besar-besaran dengan keadaan ekonomi negara dan diri yang tidak menentu. Jadi semua benda itu perlu diambil kira,” katanya.

Sementara itu, Amirul dan Fatin Sofie Aina melahirkan rasa syukur serta berterima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban kewangan untuk mereka melangsungkan majlis perkahwinan.

“Saya berharap usaha ini juga boleh memberi inspirasi kepada pasangan lain untuk mengadakan majlis secara berkumpulan dan menjimatkan,” kata Amirul.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR