- BL Harian - http://bldaily.my -

‘Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour’ Bakal Gegar 4 Negara

Penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin kembali bersama buah tangan untuk peminatnya melalui konsert jelajah ‘Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour’ selepas berehat lama dan bergelar ibu kepada Siti Aafiyah Khalid Mohamad Jiwa.

“Siti percaya dengan sokongan peminat setia, Sitizoners serta peminat yang menantikan kemunculan saya, konsert jelajah ini bakal menjadi sesuatu yang hebat,” jelas Siti pada sidang media semalam.

Menurut Siti lagi, ini merupakan konsert jelajah terbesar beliau yang merangkumi dua fasa dalam jangka masa dua tahun.

Ia bermula di Indonesia (Jakarta) pada 21 Feb, Singapura pada 2 Mac dan kembali ke Malaysia, iaitu di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 16 Mac.

Pengarah Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata pihak produksi dan pengurusan sedang berbincang bagi mengembalikan semula detik bersejarah di Royal Albert Hall, London berserta di beberapa lagi lokasi ikonik untuk dijelajahi.

KONSERT BERNILAI RM10 JUTA

“Kami telah merancang selama enam bulan untuk konsert jelajah yang keseluruhannya bernilai RM10 juta. Ia adalah yang termahal bagi artis Malaysia dan buat Siti sendiri,” katanya.

Selain mempersembahkan Siti Nurhaliza sebagai ‘Queen of Music’ dari Malaysia di persada antarabangsa, beliau berharap konsep konsert tersebut menjadi perintis bagi artis lain di Malaysia.

Artis lelaki popular dari Indonesia, Tulus bakal bergabung pentas bersama Siti Nurhaliza di setiap lokasi konsert sebagai artis undangan.

Siti akan membawa peminat mengenalinya dengan lebih dekat melihat kejadian di belakang tabir melalui filem dokumentari sepanjang perjalanan konsert jelajah bertajuk “They Call Me Siti – Seorang Wanita, 2 Dekad, Beribu Perjalanan.”

Menurut Shirazdeen, filem dokumentari itu akan diarah oleh Anusha Peterson dan bakal menemui peminat di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei pada suku tahun depan.

Menerusi filem ini, peminat akan menyaksikan bagaimana dalam kesibukan Siti menjaga Siti Aafiyah dan menjalani latihan menari, muzik, fitness sehingga ke setiap lokasi konsert berlangsung.

Seramai 10 peminat bertuah bakal dipilih daripada belian tiket ‘Meet and Greet’ untuk berada di belakang pentas bertemu Siti Nurhaliza sebelum konsert bermula.

Harga tiket bermula serendah RM105 bagi Bronze, RM155 – Silver, RM255 – Gold, RM355 – Platinum, RM 495 – Diamond dan RM1,295 ‘Meet and Greet’.

Untuk maklumat lanjut, layari www.shirazprojects.com atau www.myticket.asia bagi mendapatkan tiket konsert bermula pada 26 Dis, 2019.

(Bernama)