Banjir dan tanah runtuh apabila hujan lebat seakan fenomena biasa yang mewarnai Pulau Pinang saban tahun, dan pada 2018 sekali lagi pulau mutiara menyaksikan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan nyawa.

Kejadian pada 19 Okt itu seolah-olah mengulangi tragedi tanah runtuh pada 21 Okt 2017 di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah yang meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan, lima Bangladesh, dua Indonesia, dua Myanmar dan seorang Pakistan.

Tragedi Oktober tahun ini pula mengorbankan sembilan nyawa apabila selepas hujan lebat lebih 10 jam, tanah di tapak projek pembinaan jalan raya berkembar menghubungkan Paya Terubong ke Relau di Bukit Kukus runtuh membawa bersama 13 kontena yang menjadi tempat tinggal pekerja.

Kejadian pada 1.56 tengah hari 19 Okt itu menyebabkan sembilan pekerja asing terkorban, terdiri daripada tiga lelaki Indonesia, lima lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar; manakala empat yang lain cedera dan seorang hilang.

Sebelum itu pada 11 Okt, di kawasan yang sama, hujan lebat berserta angin kencang mengakibatkan 14 rasuk konkrit berukuran 25m panjang setiap satu di lereng cerun Jalan Tun Sardon jatuh ke lereng bukit di Projek Bukit Kukus itu.

Kejadian itu menyebabkan perintah berhenti kerja dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Tidak sampai seminggu tragedi di Bukit Kukus itu, hujan lebat lebih dua jam sekali lagi membawa kepada kejadian tanah runtuh di tebing jalan laluan Bukit Lama dari Bayan Lepas ke Balik Pulau dekat sini. Kejadian tanah runtuh sepanjang 80 meter itu dilapor pada 5.45 petang 23 Okt.

Pada 21 Nov pula satu kejadian tanah runtuh berlaku melibatkan jajaran 20 meter tebing jalan di Jalan Paya Terubong di antara Green Garden/persimpangan Jalan Paya Terubong-Jalan Tun Sardon, juga berlaku selepas hujan lebat.

Kejadian tanah runtuh di negeri ini dilapor seawal 5 Jan lagi, hujan lebat menyebabkan banjir kilat di 50 kawasan di negeri ini serta tanah runtuh di Ladang Lada, Tanjung Bungah, mengakibatkan empat orang dipindahkan akibat tanah runtuh dan 52 orang lagi akibat banjir.

Rentetan kejadian tanah runtuh yang kerap melanda negeri ini apabila hujan lebat menyebabkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar berulang kali meminta kerajaan negeri Pulau Pinang agar mengkaji semula projek-projek pembangunan dan pembinaan jalan di kawasan-kawasan lereng bukit.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri ini supaya menghentikan semua projek pembinaan melibatkan kawasan bukit sehinggalah pemeriksaan keselamatan dan alam sekitar sewajarnya selesai dilakukan bagi memastikan semua langkah diambil bagi mengelak berlaku lebih banyak tragedi.

Penang Forum, gabungan kumpulan masyarakat sivil berkepentingan awam, pula melahirkan rasa kesal dengan kegagalan pihak berkuasa untuk mencegah kejadian tanah runtuh.

Dr Kam Suan Pheng yang merupakan saintis tanah dilapor berkata hakisan tanah di Jalan Bukit Kukus bukan baru berlaku kerana perkara itu telah dilapor kepada pihak berkuasa tiga tahun lepas dan Penang Forum, menerusi kumpulan Penang Hill Watch, platform untuk orang awam mengadu tentang pembersihan hutan secara haram, telah menyerahkan dua laporan kepada MBPP.

Selain tragedi tanah runtuh yang melibatkan alam sekitar, Pulau Pinang mencipta sejarah sebagai negeri pertama meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2018 untuk mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada dua penggal.

Pada 16 Nov, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan pindaan perlembagaan itu yang dibentang Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Pindaan enakmen berkenaan selaras dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu yang menggariskan jawatan ketua menteri dan menteri besar dihadkan kepada dua penggal sahaja demi menerapkan amalan tadbir urus baik dan telus.

Chow berkata cadangan meminda Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara melalui Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang pada 11 Jun lalu dan ia dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan pada Julai dan Ogos lepas.

Beliau berkata pihaknya mencadangkan tarikh penguatkuasaan enakmen itu bermula daripada PRU14, yang menyaksikan Pakatan Harapan menang besar di Pulau Pinang iaitu memperoleh 37 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 11 daripada 13 kerusi Parlimen.

Berhubung jenayah pula, serbuan demi serbuan dibuat terhadap makmal memproses dadah di negeri ini sepanjang tahun ini dan pada 12 Sept, polis berjaya membongkar sebuah kilang memproses dadah jenis erimin 5 di Kawasan Perindustrian Bukit Tengah di Bukit Mertajam, dan polis merampas pelbagai jenis dadah, bahan kimia serta peralatan memproses dadah dianggar bernilai RM72.5 juta.

Kilang yang dilengkapi peralatan yang dibawa masuk dari luar negara bernilai RM0.5 juta itu mampu menghasilkan jutaan pil erimin 5 untuk dipasar di dalam Malaysia dan beberapa negara jiran.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR