Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli memandang serius kemusnahan kawasan tadahan air dan pencemaran air sungai di beberapa perkampungan Orang Asli berikutan aktiviti pembalakan yang tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Timbalan Menterinya, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata berikutan itu, masyarakat Orang Asli yang menggunakan air sungai yang tidak bersih kini terdedah kepada penyakit berjangkit serta penyakit kulit.

“Saya akan mendapatkan laporan berhubung syarikat pembalakan yang menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan perkampungan masyarakat Orang Asli bagi memastikan mereka mempunyai lesen yang sah atau menjalankan aktiviti berkenaan secara haram,” katanya kepada pemberita selepas meninjau dua perkampungan masyarakat Orang Asli di Kampung Aring 5 dan Kuala Koh di sini, malam tadi.

Beliau berkata hasil tinjauannya turut mendapati kedua-dua kawasan berkenaan terkesan dengan pencemaran akibat aktiviti pembalakan dan perlombongan bijih besi.

“Saya dapat lihat juga pembalak membuang sisa kayu ke dalam anak sungai tanpa mengambil langkah seperti yang ditetapkan dalam SOP supaya kawalan berhubung perkara itu lebih selamat,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR