Detik masa berlalu terlalu pantas, tirai 2018 bakal dilabuhkan dan sekali gus banyak catatan suka duka dan lakaran sejarah dicipta dalam arena sukan tanah air.

Secara keseluruhannya, 2018 bukanlah tahun yang baik buat sukan di Malaysia dan bukan menidakkan pencapaian pelbagai pingat atau rekod baharu yang dicipta atlet-atlet negara di peringkat kebangsaan mahupun dunia, namun ia masih belum mencukupi.

Tumpuan 2018 lebih tertumpu kepada dua temasya sukan besar iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang menjadi medan atlet-atlet negara membuktikan segala penat lelah mahupun program yang dirancang ke atas mereka, diuji.

Ironinya, kedua-dua acara itu diletakkan sasaran tertentu seperti jumlah pingat emas malahan kedudukan keseluruhan, namun sebaliknya berlaku.

Kepada siapa yang hendak dituding selepas semua sasaran tidak tercapai walaupun prestasi menunjukkan sedikit peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Sebelum bermulanya temasya Sukan Komanwel Gold Coast, Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin mencabar semua atlet di bawah Program Podium untuk meraih pingat kerana ia menjadi medan terbaik untuk mereka mempamerkan prestasi terbaik masing-masing.

Walaupun tidak meletakkan jumlah sasaran pingat, Khairy mahu sasaran di bawah Program Podium ialah untuk mencapai kedudukan 10 terbaik keseluruhan dan sasaran pingat emas melebihi pencapaian di Glasgow (2014), menyaksikan Malaysia menamatkan saingan dikedudukan ke-12 keseluruhan dengan mengumpul enam pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa.

Namun pada temasya Sukan Komanwel Gold Coast yang diketuai Huang Ying How, Malaysia kekal dikedudukan ke-12 keseluruhan dengan tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa.

Kontinjen negara sekali lagi dicabar untuk memburu kelompok 10 terbaik pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang dan melalui amanatnya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang pada 10 Ogos lepas, meletakkan harapan kontinjen negara untuk mencapai sasaran itu.

Katanya tidak mustahil untuk Malaysia pencapai kejayaan itu dan mengulangi kegemilangan kontinjen negara pada edisi 2010 di Guangzhou, China, apabila Malaysia meraih sembilan pingat emas, 18 perak dan 14 gangsa.

Bagaimanapun, kontinjen Malaysia yang diketuai Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi hanya mampu berada dikedudukan ke-14 dengan tujuh pingat emas, 13 perak dan 16 gangsa, suatu pencapaian yang baik berbanding di Incheon pada 2014 dengan lima pingat emas, 14 perak dan 14 gangsa.

Berdasarkan kepada prestasi yang ditampilkan kontinjen negara dalam dua temasya berkenaan, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang nyata tidak berpuas hati, telah mengumumkan penstrukturan semula program latihan atlet.

Program Podium, yang merupakan inisiatif Pelan Prestasi Tinggi Kementerian Belia dan Sukan bermula 2016 dalam merealisasikan pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain muncul 10 pasukan terbaik di Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018, akan melalui proses penstrukturan semula secara holistik yang akan dikendalikan sepenuhnya Majlis Sukan Negara (MSN) berkuat kuasa awal tahun depan.

Program baharu itu menggunakan pendekatan sistem berperingkat iaitu fleksibiliti dalam pemilihan atlet serta pelaksanaan program dapat dibuat secara efisien dan penetapan sasaran lebih mudah dilaksanakan.

Dalam kepayahan menghadam prestasi kontinjen negara dalam dua temasya sukan besar itu, arena sukan negara masih mempunyai sesuatu yang menceriakan dan perlu diraikan.

Biarpun mereka adalah atlet kelainan upaya, namun dari segi semangat juang, mereka wajar menjadi pembakar semangat semua atlet untuk menggapai kecemerlangan.

Pada edisi ketiga temasya Sukan Para Asia di Jakarta, kontinjen ‘atlet luar biasa’ negara menamatkan saingan di tempat kelapan keseluruhan dengan membawa pulang 17 pingat emas, 26 perak dan 25 gangsa, sekali gus satu pencapaian terbaik selepas edisi di Incheon pada 2014 yang merangkul 15 pingat emas, 20 perak dan 27 gangsa.

Selain itu atlet remaja negara turut tidak menghampakan dengan menghadiahkan dua pingat emas dan satu perak.

Pemain badminton, Goh Jin Wei menjadi atlet pertama memenangi pingat emas untuk Malaysia di temasya Sukan Olimpik Belia di Buenos Aires yang berlangsung pada 6-18 Okt lepas dan lebih manis lagi buat atlet berusia 17 tahun dari Pulau Pinang itu, beliau berjaya meraih Kejuaraan Badminton Remaja Dunia buat kali kedua selepas mengecapinya pada 2015.

Kejayaan beliau itu kemudiannya diikuti pasukan hoki lima sebelah remaja lelaki yang menghadirkan pingat emas kedua selepas mengalahkan India 4-2 pada aksi final. Malaysia turut meraih pingat perak menerusi gimnas cilik, Rayna Hoh Khai Ling menerusi acara pasukan pelbagai disiplin.

Selain aksi di luar negara, temasya Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma di Perak juga tidak kurang menarik perhatian.

Temasya Sukma semakin menunjukkan peningkatan kualiti apabila prestasi atlet negeri secara keseluruhan menampilkan saingan kompetitif terutama dalam kalangan mereka berusia 16 hingga 21 tahun.

Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail perkembangan positif itu dapat dilihat menerusi taburan pingat emas antara negeri yang seimbang dan tidak ada jurang yang begitu ketara.

Temasya kali ini juga menjadi acara sukan peringkat kebangsaan terbesar di negara ini di bawah pentadbiran Malaysia Baharu buat pertama kalinya.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Sukan

VIDEO POPULAR