Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis telah menerima pakai resolusi pertamanya bagi menangani pembasmian kemiskinan di kawasan luar bandar, dengan menggariskan kepentingan usaha bersama untuk mencapai matlamat Agenda 2030, lapor agensi berita China Xinhua.

Diusulkan oleh China dan Kumpulan 77 (G77), blok terbesar anggota negara membangun PBB, resolusi itu mendedahkan bahawa hampir 80 peratus penduduk miskin tegar tinggal di kawasan luar bandar serta pertanian, dan Agenda 2030 bagi Pembangunan Lestari menjadikan ia satu keutamaan bagi membasmi kemiskinan.

Resolusi itu menggariskan kepentingan mempromosi pembangunan sosioekonomi di kawasan luar bandar sebagai satu strategi berkesan bagi membasmi kemiskinan, termasuk langkah menambah baik infrastruktur, fasiliti kewangan inklusif, pekerjaan, pendidikan, sistem kebajikan sosial dan meminimumkan jurang digital.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR