- BL Harian - http://bldaily.my -

Fikirlah:Susah Sangatkah 10 Minit?

Rakan lama saya yang belajar di universiti yang sama sekitar 10 tahun lalu, Nisa menunjukkan wajah yang tidak begitu gembira semasa bertemu di sebuah restoran mamak di Wangsa Maju baru-baru ini.

Mukanya jelas menampakkan kemarahan dan ini menimbulkan kehairanan kepada saya apa yang membuatkan wanita ini naik angin sedangkan dia baharu sahaja balik dari beriadah di sebuah taman sekitar Lembah Klang.

“Di taman aku jogging tadi dengan penuh sampah sarap, berselerakan di seluruh kawasan dan hampir sepanjang trek larian. Selalunya kawasan taman itu bersih, mungkin ada program malam sebelumnya dan pihak PBT tak sempat untuk bersihkan.

“Cuma, aku benganglah sikap masyarakat kita. Kalau tong sampah dah penuh, simpanlah dulu sampah, cari tempat lain untuk buangkannya dan bukannya buang merata-rata sesuka hati. Bukan sahaja kotor tapi mencacatkan pemandangan taman yang sepatutnya indah, bersih dan menghijau,” dia berkata sambil mengeluh panjang.

Keadaan yang kotor itu membuatkan penjawat awam berumur 34 tahun ini tidak berminat untuk meneruskan aktiviti riadah dan mengambil keputusan untuk balik sahaja. Cuma dia berasa pelik melihat ramai pengunjung lain seolah-olah tidak kisah dengan persekitaran tersebut apabila tetap meneruskan aktiviti berbasikal bersama keluarga dan ada juga yang begitu seronok bersenam aerobik.

Paling memualkan, apabila ada pula yang boleh menjamu selera di gazebo disediakan dengan bertemankan pelbagai jenis sampah seperti bekas makanan polisterin, plastik dan pembalut aiskrim.

“Kita beriadah untuk hirup udara segar dan kehidupan lebih sihat. Tetapi, kalau dah kotor macam itu bukankah boleh mengundang pelbagai risiko penyakit bawaan haiwan seperti tikus dan nyamuk.

“Lagi pun, sekarang musim hujan. Boleh terdedah kepada penyakit denggi,” leternya lagi. Difahamkan, waktu aktif nyamuk aedes adalah antara jam 5.30 pagi hingga 8 pagi dan 5.30 petang hingga 8 malam, iaitu masa popular kebanyakan anggota masyarakat melakukan rutin aktiviti riadah.

Benar juga kata rakan saya itu. Jumaat lepas (14 Dis) seorang rakan saya membawa suaminya yang demam untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik dan doktor memberitahu beliau sekarang yakni bulan Disember ini musim penyakit denggi.

Kata doktor itu, ramai pesakit yang mendapat rawatan di kliniknya disahkan menghidap penyakit bawaan nyamuk aedes dan kemudiannya dirujuk terus ke hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya. Bagaimanapun, syukurlah suami rakan saya itu disahkan tidak menghidap penyakit berkenaan.

Mengulas mengenai isu ini, Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Kesihatan) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Rozita Hod berkata polemik wabak denggi bukanlah isu baharu malah sudah menjadi satu situasi yang sebati dalam diri masyarakat.

Boleh dikatakan kebanyakannya sudah sedia maklum mengenai masalah ini namun masih ramai lagi yang mengambil mudah akan kepentingan menjaga kebersihan walaupun pelbagai langkah dilaksanakan kerajaan dalam membudayakan sahsiah murni tersebut.

Paling menjengkelkan, apabila ada pula dengan sengaja menjadikan alasan ‘tidak ada tong sampah’ atau ‘tong sampah sudah penuh’ untuk membuang sampah sesuka hati.

Dalam hal ini, Dr Rozita berkata biar pun nyamuk aedes tidak membiak di kawasan kotor seperti air larut resap kerana hanya membiak pada air bersih yang bertakung, namun jangan lupa dengan peningkatan curahan hujan ketika ini boleh meningkatkan habitat populasi nyamuk berkenaan.

Cuaca kini yang agak tidak menentu dengan panas dan hujan yang berlaku di beberapa tempat berikutan monsun Timur Laut sekali gus turut berisiko menyumbang kepada tempat pembiakan nyamuk aedes.

Ini terjadi apabila sampah seperti bekas makanan yang tidak dibuang dengan betul dan dibiarkan terbuka begitu sahaja boleh menjadi tempat takungan air hujan sekali gus menarik minat nyamuk aedes untuk membiak.

Beberapa kajian sebelum ini juga membuktikan bekas makanan jenis polisterin antara bekas paling kerap dijumpai jentik-jentik, kata Dr Rozita.

“Saya paling tidak gemar melihat orang buang sampah merata-rata ketika di jalan raya seperti tin kosong, plastik kerana itu boleh menyebabkan adanya takungan air.

“Kalau lalu tepi jalan dan ternampak bekas polisterin memang saya fobia kerana ada kemungkinan besar ia menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya kepada Bernama.

Dalam satu petikan media awal tahun ini, dilaporkan sebanyak 175 taman permainan dan rekreasi di seluruh negara didapati menjadi tempat pembiakan nyamuk berkenaan. Jumlah itu adalah 23 peratus daripada keseluruhan 763 taman permainan dan rekreasi yang diperiksa awal tahun ini.

Manakala, kawasan tanah kosong turut mencatatkan peratusan pembiakan nyamuk aedes yang tinggi iaitu 21 peratus atau 4,110 kawasan daripada 19,028 kawasan yang diperiksa, projek rumah terbengkalai pula 17 peratus daripada 152 yang diperiksa didapati positif aedes, kilang dan gudang (11 peratus) dan tanah perkuburan (10 peratus).

Bagi rumah kediaman pula, hasil pemeriksaan Kementerian Kesihatan menunjukkan 11,716 rumah atau 2.7 peratus daripada keseluruhan 437,706 rumah yang diperiksa didapati positif aedes.

Persoalannya, sampai bila penyakit yang pertama kali dicatatkan di negara ini pada tahun 1901 akan terus menjadi polemik di negara kita Dalam hal ini, masyarakat harus ubah sikap dan adalah tidak wajar bebanan pengawalan ancaman denggi hanya tertumpu di pihak kerajaan semata-mata.

Harus diingat, mana mungkin ratusan mahupun ribuan habitat pembiakan nyamuk aedes itu dapat dihapuskan tanpa adanya pembabitan masyarakat. Ini hakikat yang kita perlu terima dan akui bahawa agak sukar sebenarnya menangani ancaman gigitan serangga nyamuk aedes yang dijangkiti virus denggi tanpa ada usaha bersepadu semua pihak.

Lagipun, susah sangatkah Hanya 10 minit sahaja diperlukan dalam seminggu dan langkah pencegahannya sangat mudah iaitu dengan meletakkan bahan pembunuh jentik-jentik atau menghapuskan semua tempat pembiakan nyamuk di sekeliling rumah seperti besen, tayar lama, pasu bunga, tong air dan sebagainya.

Untuk membersihkan bekas pembiakan nyamuk, ia tidak boleh dilakukan dengan hanya membuang airnya sahaja tetapi dinding bekas perlu diberus untuk membuang telur atau menyiram dengan air panas yang suhunya lebih 80 darjah celsius untuk membunuh telur tersebut.

Itu sahaja, sangat mudah dan bukannya perlu dibuat setiap hari. Tetapi, masih ramai yang malas untuk melaksanakannya. Paling menyedihkan apabila ada pula yang beranggapan ‘fogging’ ataupun semburan kabus dapat mengawal wabak denggi termasuklah membunuh telur nyamuk ini.

Seorang rakan yang tinggal di negeri pantai timur memberitahu saya kawasannya hampir setiap hari didatangi pihak kesihatan melakukan pengabutan di dalam rumah sekali gus berpandangan ia merupakan langkah terbaik membunuh telur aedes

Walhal, berdasarkan pembacaan saya mengenai denggi mendapati semburan kabus hanya membunuh nyamuk dewasa sahaja tetapi tidak pada telur-telurnya. Lagipun, sekiranya ia merupakan medium terbaik mengapa kes denggi masih lagi menyerang

Kita harus sedar sehingga hari ini denggi masih belum ada penawarnya dan ia telah meragut begitu banyak nyawa. Bersikap proaktif kerana belum tentu anda dan ahli keluarga selamat daripada ancaman ini.

Lagipun dengan hanya 10 minit, anda mampu mengubahnya!

(Komentar ini adalah pandangan peribadi penulis)

(Bernama)