Jabatan Kesihatan Perak mewajibkan agar setiap pengusaha Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di negeri ini melakukan saringan kesihatan terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka setiap hari.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Negeri, Dr K.B Venugopalan berkata langkah itu bagi memastikan langkah pencegahan penularan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan negeri turut mengesahkan kes HFMD yang semakin serius di Pulau Pinang, kini menular ke negeri Perak dengan kes penyakit itu menunjukkan trend peningkatan sejak beberapa bulan lepas.

“Sesi taklimat berhubung kaedah pencegahan penyakit HFMD bersama pengusaha tadika, taska dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diadakan. Kita telah mengajar setiap pengusaha mengenai kaedah menyaring kesihatan kanak-kanak.”

“Jika kanak-kanak alami demam, ruam dan sebagainya, mereka harus tidak membenarkan kemasukan kanak-kanak terlibat ke pusat asuhan mereka, meskipun tidak dijangkiti HFMD,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Hentikan Penderaan Kanak-Kanak dan Keganasan Rumah Tangga peringkat negeri di sini, hari ini.

Dr Venugopalan berkata ibu bapa juga perlu sedar tadika atau taska bukan ‘mini hospital’, dan tidak boleh sesuka hati membuat keputusan menghantar anak mereka ke pusat jagaan itu meskipun anak tidak sihat dengan perlu turut mengambil kira kepentingan anak orang lain.

“Kanak-kanak yang dijangkiti mesti dikuarantin di rumah dan dijaga rapi serta tidak dibawa berjalan-jalan ke pusat beli-belah atau sebarang tempat keramaian bagi mengelakkan penularan penyakit dihadapi anak mereka,” katanya.

Dr Venugopalan berkata penyakit HFMD adalah lebih serius kepada kanak-kanak berusia lima dan enam tahun dan ia merebak lebih cepat sama ada melalui sentuhan dan air liur.

Beliau berkata kaedah paling penting menghalang penularan penyakit ini adalah dengan memastikan kanak-kanak yang mengalami simptom atau jangkitan HFMD diasingkan daripada kanak-kanak lain.

(Bernama)

Share
Kategori: Kesihatan

VIDEO POPULAR