- BL Harian - http://bldaily.my -

PTPTN gesa ibu bapa rebut segera geran sepadan SSPN

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mahu ibu bapa yang mepunyai anak berusia tujuh hingga 12 tahun supaya merebut insentif Geran Sepadan RM500 yang disediakan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang berakhir 31 Dis ini.

Pengerusi perbadanan itu Wan Saiful Wan Jan berkata sehingga sekarang tidak sampai 180,000 orang telah membuka akaun untuk menikmati Geran Sepadan itu yang diperuntukkan kepada 500,000 orang.

“Ibu bapa hanya perlu buka akaun dengan membuat simpanan sebanyak RM500 dan kerajaan akan tambah RM500 menjadikan jumlah keseluruhan simpanan mereka RM1,000,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Shopping Back To School di sini, hari ini.

Dalam program itu, Yayasan Kebajikan Perlis memperuntukkan bantuan persekolahan sebanyak RM15,000 kepada 150 orang dengan seorang pelajar diberi RM100.

(Bernama)