Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berterima kasih kepada kerajaan di atas peruntukan khas RM77 juta yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam.

Felda dalam satu kenyataan hari ini berkata, peruntukan itu adalah bagi bantuan pinjaman sara hidup, bayaran terus bagi hasil pertanian yang akan memberi faedah kepada 38,000 peneroka Felda, faedah pengkebumian kepada 120 pewaris dan bagi menyelesaikan hutang Felda Technoplant Sdn Bhd.

“Pada masa sekarang, Felda menguruskan 292,252 hektar tanah melibatkan 76,414 peneroka. Pada masa sekarang kira-kira 38,000 peneroka menerima bantuan sara hidup dan bayaran terus pendapatan.

“Tahun ini RM500 juta diperlukan bagi membiayai bayaran berkenaan yang kini dibiayai daripada sumber dalaman Felda,” demikian menurut kenyataan Felda di sini hari ini.

Menurut Felda, kekangan aliran tunainya berpunca daripada percanggahan terhadap aliran tunai di mana sumber pendapatan Felda tidak mencukupi berikutan komitmen kewangannya yang tinggi.

“Keadaan pasaran semasa yang lemah melambatkan lagi proses pelupusan aset bagi mengelakkan kerugian manakala kejatuhan harga minyak sawit turut menjejaskan kutipan hutang daripada peneroka.

“Bagaimanapun, Felda komited dalam menyelesaikan isu berkenaan dan mencari pelbagai penyelesaian bagi mengurangkan kekangan kewangan serta mencari pilihan bagi membangunkan model perniagaan mampan,” menurut kenyataan itu.

Peruntukan 2018 sebanyak RM77 juta akan diuruskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang menyelia Felda.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR