- BL Harian - http://bldaily.my -

Kuasai Bahasa Inggeris untuk menimba ilmu – Dr Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini mengingatkan rakyat mengenai kepentingan menguasai Bahasa Inggeris bagi menimba ilmu pengetahuan.

“Saya ingin mengingatkan setiap orang, Bahasa Inggeris bukan hanya untuk orang England sahaja tetapi adalah suatu bahasa universal. Bahasa ilmu. Untuk mendapat ilmu, anda mesti tahu Bahasa Inggeris.

Dalam mempelajari sains dan perubatan, kita perlu memahami Bahasa Inggeris dengan baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHOCA) 2018 di sini malam ini.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Beliau berkata kurikulum di sekolah juga perlu menitikberatkan penguasaan subjek yang boleh melahirkan graduan berkualiti dan tidak tertumpu pada subjek keagamaan sahaja.

“Kerajaan akan menyemak semula kurikulum sekolah. Seseorang menukar sekolah kebangsaan. Sekolah kebangsaan menjadi sekolah agama, belajar agama Islam dan tidak belajar perkara lain.

Natijahnya, rakyat tidak benar-benar mengetahui mata pelajaran yang akan memberikan mereka pekerjaan. Kami akan menukar jadual waktu di sekolah. Kita akan belajar agama tetapi bukan dalam semua waktu dalam sehari. Mungkin seminggu sekali tetapi kita perlu kuasai semua mata pelajaran lain,” katanya.

(Bernama)