Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 16 Jan ini untuk pengurusan kes saman difailkan bekas Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah terhadap Ketua Polis Negara dan dua lagi berhubung penahanannya secara salah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA), dua tahun lepas.

Peguam Latheefa Koya, yang mewakili Maria memberitahu pemberita bahawa Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes saman berkenaan di dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri Peguam Persekutuan Istisyhad Ismail.

Latheefa berkata mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak supaya memfailkan dokumen berkaitan sebelum tarikh pengurusan kes tersebut.

Pada 6 Ogos lepas, Maria, 62, yang juga Anggota Parlimen Petaling Jaya, menyaman Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan atas dakwaan menyebabkannya ditangkap, ditahan dan dipenjara secara salah di bawah SOSMA.

Dalam penyataan tuntutan, Maria mendakwa beliau telah ditangkap dan ditahan di bawah SOSMA di pejabat Bersih pada 18 Nov 2016 dan barang-barangnya turut dirampas termasuk telefon bimbit, peralatan komputer dan beberapa dokumen.

Maria mendakwa penangkapannya dibuat berdasarkan atas kepercayaan politik dan dibuat bagi melayani kehendak parti yang merupakan kerajaan ketika itu bagi menggagalkan perhimpunan aman diadakan serta untuk menakutkan orang awam dari menyertai perhimpun berkenaan.

Dakwa plaintif, penahanannya selama 10 hari bermula 18 Nov 2016 adalah bertujuan untuk menindasnya berikutan beliau terpaksa tidur di dalam sel individu tanpa tingkap dan tidur di atas lantai konkrit dengan hanya beralaskan sekeping kayu tanpa dibekalkan tilam, bantal dan selimut.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan, serta kos.

Dalam penyataan pembelaan difailkan pada 3 Okt lepas, kesemua defendan mendakwa tangkapan dan penahanan plaintif adalah sah mengikut undang- undang dan bukannya dibuat atas dasar politik atau niat jahat.

Kesemua defendan juga mendakwa soal siasat dijalankan dalam keadaan baik di mana plaintif diberikan masa untuk berehat dan keadaan kesihatannya turut dipantau selain mendakwa plaintif ditahan di dalam sel individu yang selesa serta dibekalkan dengan tilam, selimut, bantal dan bacaan mengikut permintaannya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR