Kerajaan negeri menerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) sedang mengadakan promosi di luar negara bersempena kempen ‘Tahun Melawat Sarawak’, yang akan dilancarkan pada 31 Dis.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pelancaran itu akan dilakukan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg serentak dengan kiraan detik Tahun Baharu 2019 yang akan diadakan di Tebingan Kuching.

“STB melakukan promosi penggalakan pelancongan Sarawak di beberapa lokasi termasuk China, Singapura, London, Berlin dan Kuala Lumpur dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke negeri ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menyentuh tentang Tahun Melawat Sarawak, Abdul Karim Rahman berkata ia akan berbeza daripada sebelum ini oleh sebab kempen itu akan dijalankan selama beberapa tahun.

“Kami tidak mahu membazirkan wang kerana menghentikan kempen itu segera hanya selepas setahun,” katanya, dan menambah, kebanyakan negara menggunakan cara sama untuk mempromosi program pelancongan di negara masing-masing.

Beliau berkata 2019 akan menjadi tahun yang mengujakan bagi Sarawak memandangkan banyak acara menarik telah dirancang sepanjang tahun.

“Malah pada Januari, kami akan menjadi tuan rumah Anugerah Televisyen Asia dan setiap bulan juga akan ada acara yang berlangsung di Sarawak,” katanya.

Mengenai acara yang akan diadakan tahun depan, beliau berkata acara berkaitan pelancongan bukan hanya berlangsung sekitar bandar dan pekan tetapi juga diadakan di kawasan luar bandar di negeri ini.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR