Keuntungan bersih AEON Credit Service (M) Bhd bagi suku ketiga yang berakhir 30 Nov, 2018, meningkat kepada RM87.13 juta daripada RM70.55 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil meningkat kepada RM348.49 juta daripada RM312.34 juta yang dicatatkan sebelumnya berikutan peningkatan dalam belum terima pembiayaan bagi motosikal, auto dan perniagaan pembiayaan peribadi, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini (20 Dis).

Pada masa hadapan, Pengarah Urusannya Kenji Fujita berkata syarikat itu terus optimis dapat mengekalkan prestasinya sepanjang tahun kewangan selaras dengan pelaksanaan pelan perniagaannya yang dijadualkan. 

“Dengan aplikasi e-dompet yang baru dilancarkan, melengkapkan AEON Member Plus Visa Card, kami menjangka dapat mencatatkan penyelesaian dan pembayaran yang kukuh,” katanya. 

Beliau berkata syarikat itu menyasarkan lebih ramai pengguna bagi aplikasi tersebut sejajar dengan dasar kerajaan menggalakkan masyarakat tanpa tunai. 

“Justeru, kami menyasarkan sinergi kedua-dua perniagaan runcit dan kewangan kami,” katanya. 

Fujita berkata syarikat itu yakin permintaan domestik akan terus menyumbang kepada aliran pendapatan syarikat dan merangsang pertumbuhan perniagaan.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Ekonomi

VIDEO POPULAR