Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) kini sudah bersedia membuat pemilihan atlet bagi membawa cabaran negara pada temasya Sukan SEA Filipina 2019.

Setiausaha Agung ESM, Rinie Ramli berkata badan induk itu mempunyai beberapa perancangan dalam memilih atlet terbaik memandangkan penganjuran sukan berasaskan permainan video itu semakin mendapat perhatian selain kehadiran lebih ramai atlet berbakat.

Katanya, proses pemilihan akan dilakukan dengan teliti berdasarkan jenis permainan video yang akan dipertandingkan bagi memastikan atlet dipilih mampu menggalas tanggungjawab dengan baik.

“Tahun depan kita ada Sukan SEA di mana buat pertama kali e-sukan dimasukkan ke dalam senarai pungutan pingat dan ini dapat memberi peluang kepada atlet berbakti kepada negara secara rasmi dan ia merupakan satu perkara yang amat membanggakan.

“Jaminan kami adalah pemilihan atlet akan melalui dari peringkat negeri sehingga ke peringkat kebangsaan. Tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada semua atlet seluruh negara, bukan hanya tertumpu di Lembah Klang sahaja, untuk mencuba,” katanya pada majlis pra-pelancaran penganjuran Todak Fest 2019 di sini, hari ini.

Pada masa sama, Rinie berkata senarai jenis permainan yang dipertandingkan sepatutnya diketahui minggu ini, namun ia terpaksa ditangguhkan pihak penganjur.

Menurut Rinie, sebelum ini pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengenai jenis permainan yang diharap dapat dipertandingkan pada temasya dwi-tahunan itu.

“Ia sepatutnya diumumkan pada minggu ini tetapi mungkin pihak penganjur masih lagi menilai beberapa perkara. Tetapi kita sudah mengenal pasti kekuatan atlet Malaysia di dalam permainan apa, cuma keputusan akhir itu adalah pilihan penganjur,” tambah beliau.

Sebagai rekod, kekuatan arena e-sukan negara adalah dalam permainan video Dota2, FIFA19, Counter Strike, Mobile Legend, Tekken dan PUBG.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Sukan

VIDEO POPULAR