- BL Harian - http://bldaily.my -

16 petinju profesional bakal berentap rebut dua tali pinggang

Seramai 16 petinju profesional dari Malaysia dan luar negara bakal berentap bagi merebut dua tali pinggang yang ditawarkan pada kejohanan ‘EduCity Kombat League 2018’ (EKL 2018) pada 29 Dis ini, di sini.

Antara nama-nama besar yang akan menyertai kejohanan itu ialah bintang seni bela diri campuran (MMA) berasal dari Johor, Jihin Radzuan; juara judo tali pinggang hitam peringkat kebangsaan dan MIMMA5 Middleweight Champion, Mohd Fakhrul Izzat Affandi dan Don Sulaiman, atlet MMA dari Palestin.

Pengarah Projek Boxxtomoi Asia Musaddik Zainuddin berkata kejohanan itu yang dianjurkan EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd, turut menghimpunkan petinju daripada pelbagai seni tempur seperti judo, MMA, tinju, silat serta penyertaan dari negara luar seperti Palestin, Afghanistan, Singapura, Thailand, Perancis dan Iran.

Dua tali pinggang yang bakal menjadi rebutan ialah ‘Iskandar Puteri Mayor Belt’ dan ‘EduCity Belt’.

“Kejohanan ini akan berlangsung dalam dua sesi iaitu amatur pada sesi pagi untuk perlawanan MMA,  Boxing dan Kick Boxing manakala pada malam pula diadakan perlawanan bagi petinju profesional,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Educity Iskandar Malaysia Sdn Bhd Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi dan tiga petinju profesional – Jihin yang dikenali sebagai Shadow Cat, Mohd Fakhrul yang digelar Mokjudo dan Don Sulaiman.

Sementara itu, Wan Ahmad Saifuddin berkata EduCity sentiasa mendukung aspirasi pembangunan sukan negara dengan menganjurkan pelbagai kejohanan sukan.

Katanya, ia sekali gus dapat menonjolkan Iskandar Puteri sebagai destinasi sukan di selatan tanah air dengan infrastruktur moden dan populasi penduduk yang mengamalkan gaya hidup sihat.

Sementara itu, Jihin berkata beliau mampu membawa pulang tali pinggang kejuaraan EduCity Belt yang dipertaruhkan.

“(Bagaimanapun) Sebagai petinju profesional, kita tidak boleh terlalu yakin sangat, pemikiran harus diubah dan apa yang penting adalah usaha yang lebih dan berikan yang sebaiknya dalam perlawanan,” katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk menyaksikan kejohanan EduCity Kombat League 2018, boleh mendapatkan tiket dengan melayari laman web: boxxtomoi.asia

(Bernama)