Skuad ragbi 7-sebelah (7s) lelaki kebangsaan dijangka berdepan tugas getir dalam merealisasikan misi mempertahan pingat emas Sukan SEA di Filipina bermula 30 Nov hingga 11 Dis tahun hadapan.

Setiausaha Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Jamaluddin Salim berkata ia berikutan tuan rumah Filipina dijangka membariskan pemain-pemain kacukan yang sedang bermain di negara-negara Oceania seperti New Zealand dan Australia dalam usaha merampas pingat emas itu.

“Kita sudah minta pemain-pemain kita bahawa mereka tidak boleh leka dan perlu membuat persiapan yang lebih rapi kerana saingan sengit kali ini. Filipina dijangka memanggil pemain-pemain mereka yang mempunyai dua kerakyatan yang sedang menetap atau belajar di New Zealand dan Australia,” katanya.

Berikutan itu, KRM telah merangka program latihan dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) untuk melatih 16 pemain secara sepenuh masa, selain menghantar mereka menyertai beberapa kejohanan luar negara.

“Kita telah menetapkan beberapa kejohanan yang akan disertai dan setiap kejohanan mesti ada KPI (petunjuk prestasi utama) yang perlu dicapai. Antara kejohanan yang dirancang ialah Borneo Sevens pada Mac, program ke Jepun pada Mei, kemudian Asian Sevens Series pada Ogos.

“Program memang dah ada, cuma tunggu bajet dari MSN untuk melaksanakannya. MSN juga telah bersetuju untuk menambahkan empat pemain selepas pada awalnya hanya membenarkan 12 pemain,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, KRM telah memilih 10 pemain daripada skuad yang meraih emas pada tahun lepas dan selebihnya akan dipilih daripada skuad Asian Sevens Series dan Sukan Asia Jakarta-Palembang tahun ini.

Bagi pasukan wanita 7s negara yang meraih pingat gangsa pada Sukan SEA lalu, Jamaluddin berkata berikutan peruntukan MSN untuk skuad itu tidak setinggi peruntukan yang diterima oleh skuad lelaki, kerana perbezaan warna pingat, KRM akan menggunakan sebahagian daripada tajaan RM2 juta daripada UEM Group Berhad bagi 2019 untuk persiapan pasukan itu.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Sukan

VIDEO POPULAR