Presiden Korea Selatan Moon Jae-in dijangka melawat Malaysia tahun depan.

Lawatan negara oleh Presiden Moon merupakan agenda perbincangan di Wisma Putra, di sini hari ini (20 Dis) antara Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya dari Korea Selatan Kang Kyung-wha, yang berada di negara ini untuk lawatan kerja dua hari.

“Antara lain kami membincangkan mengenai lawatan negara Presiden Moon Jae-in ke Malaysia pada suku pertama 2019, mungkin pada Mac,” kata Saifuddin selepas pertemuan mereka yang juga menyentuh mengenai hubungan baik antara Malaysia dan Korea Selatan. 

Saifuddin berkata beberapa memorandum persefahaman dijangka ditandatangani semasa lawatan Presiden Moon.

Dalam pertemuan selama sejam itu, Saifuddin dan Kang juga menyentuh mengenai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea, yang akan diadakan di Seoul pada suku ketiga tahun depan.

“Kami juga telah diberi taklimat mengenai perkembangan terkini rundingan antara Korea Selatan dan Korea Utara dan nampaknya ada beberapa perkembangan,” kata Saifuddin.

Saifuddin berkata bidang-bidang baharu kerjasama terutama dalam teknologi dan pendidikan turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

“Kami mahu meningkatkan inovasi kerana kami akan mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 sementara dalam bidang pendidikan, kami membincangkan mengenai program pertukaran pelajar dan akademik,” katanya sambil menambah bahawa perkara penting yang Malaysia ingin belajar dari Korea Selatan adalah disiplin.

Korea Selatan merupakan rakan perdagangan kelapan terbesar di dunia dan pelabur asing ke-13 terbesar pada 2017. Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan meningkat 13.6 peratus pada 2017 untuk mencecah RM67.71 bilion daripada angka tahun sebelumnya.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Nasional

VIDEO POPULAR