Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang menyasarkan untuk menduduki ranking pertama dunia dalam acara keirin dan pecut pada 2019.

Mohd Azizulhasni yang lebih dikenali sebagai ‘Pocket Rocketman’ berkata misi itu adalah bagi mengukuhkan kedudukan dalam usaha melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jelas beliau, tumpuannya kini adalah untuk meraih kedudukan terbaik pada Kejohanan Trek Asia 2019 pada Januari dan Kejohanan Trek Dunia 2019 (Februari).

“Bagi saya untuk berada dalam kedudukan 10 terbaik pun sudah cukup kerana objektif utama adalah untuk mengukuhkan kedudukan untuk layak ke Olimpik.

“Dari segi pungutan mata kita perlu jadikan Kejohanan Asia dan Dunia tahun hadapan sebagai medan utama dan sekiranya saya berjaya raih pingat emas ataupun kedudukan podium, mungkin saya boleh capai status nombor satu,” katanya pada majlis penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di sini, hari ini.

Mohd Azizulhasni yang merangkul satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 kini menduduki ranking kedua di dalam kategori keirin dunia di belakang Matthew Glaetzer dari New Zealand.

Sementara itu, pada majlis penyampaian SHAKAM yang dihadiri Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyaksikan Mohd Azizulhasni muncul antara penerima tertinggi dengan jumlah insentif sebanyak RM113,333.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR