Seorang warga emas maut manakala suaminya parah selepas kereta yang mereka naiki terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 17 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin berhampiran Kampung Cenderawasih, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian pada 4 petang itu, mangsa Hasiah Yaakob, 61, maut di tempat kejadian manakala suaminya yang memandu kereta jenis Perodua Kancil, Saibi Salleh, 75, patah kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Amran Sidek berkata, kejadian berlaku apabila sebuah treler muatan batu yang dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Pasir Gudang, Johor telah melanggar kereta yang dinaiki mangsa di laluan yang sama.

“Ketika tiba di tempat kejadian, treler berkenaan mahu memotong kereta dinaiki mangsa yang berada di hadapan pada laluan sama, namun secara tiba-tiba kereta tersebut membelok masuk ke simpang sebelah kanan menghala ke Kampung Cenderawasih.

“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan treler gagal membrek dan melanggar bahagian kanan kereta sebelum melekat di bahagian depan treler dan terseret sejauh 60 meter ke sebelah kanan jalan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini.

Amran berkata, pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan manakala Saibi dibawa ke Hospital Pekan bagi tujuan rawatan lanjut.

“Mayat mangsa dibawa ke hospital sama bagi tujuan bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Tempatan

VIDEO POPULAR