Pada keluaran lepas, Institut Diabetes Negara (NADI) ada berkongsi maklumat tentang penjagaan diet yang sihat, seimbang, aktif secara fizikal dan perlunya menurun berat badan yang berlebihan.

Penghidap diabetes juga digalakkan memantau glukosa darah di rumah dan memastikan HbA1c mereka adalah sekurang-kurangnya rendah daripada 7.0 peratus. 

Teruslah membaca untuk mengetahui apa lagi yang perlu dilakukan untuk mengurus diabetes dengan cara terbaik.

Beri Perhatian Terhadap Lemak (‘Kolesterol’) Darah Anda

Penghidap diabetes (terutamanya jenis 2) sering mempunyai paras lemak darah yang tidak normal, menjadikan mereka lebih cenderung kepada serangan jantung, strok, penyakit vaskular periferal (PVD) dan penyakit buah pinggang.

Atas sebab ini, disyorkan supaya mereka mengurangkan makanan yang tinggi lemak termasuk daging berlemak, kulit ayam, mentega, keju, ais krim dan produk tenusu. Kolesterol tinggi terdapat dalam kuning telur, daging organ (seperti hati, ginjal) dan makanan laut (seperti udang, ikan bilis dan sotong).

Tetapi, batasan di atas mungkin tidak diperlukan sekarang, seperti yang disyorkan baru-baru ini oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA). Walaupun begitu, kita masih perlu mengambil ubat penurun kolesterol jika paras kolesterol darah tinggi.

Penghidap diabetes juga perlu mengelakkan lemak ‘trans’ kerana ia didapati mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular. Lemak ‘trans’ terdapat dalam makanan yang diproses seperti kerepek, biskut, makanan ringan, makanan goreng, salad dan makanan yang dimasak mengguna minyak yang dihidrogenasi sebahagiannya. 

Pastikan Tekanan Darah Dikawal Baik

Sama seperti paras kolesterol darah yang tidak normal, tekanan darah tinggi (hipertensi) juga sering dialami mereka yang menghidap diabetes. Faktor-faktor gaya hidup seperti berat badan berlebihan atau tidak aktif secara fizikal, merokok, mengambil alkohol berlebihan dan pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi.

Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal meningkatkan risiko strok, serangan jantung. Ia juga boleh merosakkan buah pinggang, mata dan saraf kita. Seperti yang terjangka, risiko ini akan lebih teruk apabila kita tidak menjaga diabetes kita dengan baik.

Pastikan tekanan darah diperiksa pada setiap lawatan klinik – sekurang-kurangnya setiap 3 hingga 6 bulan (atau lebih kerap jika tekanan darah anda tidak terkawal dengan baik). Anda juga boleh pantau tekanan darah anda di rumah catatlah bacaan berkenaan untuk dibincang dengan doktor. Secara umum, penghidap diabetes harus menyasarkan bacaan tekanan darah (BP) pada paras 130/80 mmHg (tanpa mengira usia). Semak dengan doktor tentang tahap BP yang sepatutnya untuk anda.

Tekanan darah tinggi boleh dikawal dengan mengamal gaya hidup sihat seperti mengurangkan berat badan berlebihan, melakukan eksersais secara berkala dan mengurang pengambilan garam dalam diet (serta tidak merokok atau minum alkohol). Ubat-ubatan mungkin diperlukan jika tekanan darah tinggi tidak dapat dikawal secukupnya dengan pelarasan gaya hidup ini.

Jumpa Doktor Secara Berkala 

Dalam kebanyakan kes, doktor akan menjadi sumber utama bagi pengurusan diabetes. Di klinik/hospital yang lebih mantap, penghidap diabetes mungkin mempunyai akses kepada profesional kesihatan lain seperti ahli diet dan (jururawat) pendidik diabetes untuk membantu pengurusan diabetes.

Doktor semestinya akan rujuk anda kepada pakar-pakar lain bagi menangani keadaan tertentu, seperti pakar kardiologi jika anda mempunyai masalah jantung.

Pastikan anda berjumpa doktor (atau pendidik diabetes) secara berkala seperti yang dijadualkan. Jangan terlepas temu janji hanya kerana berasa sihat (atau terlalu sibuk -satu alasan biasa!).

Doktor anda akan dapat menentukan sama ada pengurusan diabetes anda berada di landasan yang betul. Beliau juga akan dapat mengesan komplikasi pada peringkat awal dengan melakukan pemeriksaan dan ujian secara berkala (lihat kotak) agar tindakan segera dapat diambil bagi menangani masalah tersebut.

Pastikan pemeriksaan / ujian dilakukan secara berkala

Ujian

Kekerapan (biasa)

Berat badan/ Lilitan pinggang

Setiap lawatan

Glukosa darah

Setiap lawatan

Tekanan darah (BP)

Setiap lawatan

Pemeriksaan kaki

Setiap lawatan

HbA1c

Setiap 3-4 bulan

Lipid darah*

1-2 kali setahun

Pemeriksaan mata

Setiap tahun

Pemeriksaan saraf

Setiap tahun

Ujian fungsi buah pinggang (termasuk mikroalbumin urin)

Setiap tahun

Pemeriksaan jantung (termasuk ECG)

Setiap tahun

*Jumlah kolesterol, HDL-kolesterol, LDL-kolesterol, trigliserida

Pada setiap lawatan, doktor akan memaklumkan kepada anda sama ada anda telah mencapai sasaran A-B-C (diabetes, tekanan darah dan kolesterol) dan jika tidak, apakah langkah-langkah lain yang anda perlu dilakukan untuk mencapai sasaran tersebut.

Ikutilah nasihat doktor dan ambil masa untuk berbincang dengannya jika meragui sebarang isu mengenai pengurusan diabetes anda.

Dapatkan rawatan perubatan segera jika anda mempunyai gejala komplikasi yang serius seperti serangan jantung atau strok. Rawatan awal adalah lebih baik daripada merawat keadaan yang telah berlaku.

Ambil Ubat-Ubatan Seperti Ditetapkan

Walaupun orang yang menghidap diabetes jenis 1 memerlukan insulin untuk kelangsungan hidup, mereka yang menghidap diabetes jenis 2 boleh, dan dengan banyak kali, mengurusnya melalui pelarasan gaya hidup termasuk mengambil makanan sihat, melakukan eksersais secara berkala dan mengurangkan berat badan berlebihan. Diabetes jenis 2, bagaimanapun, adalah suatu keadaan yang progresif dan dengan masa yang berlarutan, badan mungkin membina daya rintangan yang lebih terhadap insulin dan/atau pankreas tidak lagi dapat menghasilkan insulin yang mencukupi.

Untuk mengawal tahap glukosa darah dengan lebih baik pada peringkat ini, tablet dan/atau insulin perlu dipreskripsikan. Tetapi, perlu diingatkan bahawa tablet atau suntikan adalah bertujuan untuk digunakan bersama dengan pemakanan sihat dan aktiviti fizikal berkala, bukanlah sebagai pengganti.

Sentiasalah ambil ubat seperti yang ditetapkan oleh doktor anda. Jangan ubah ubat secara sendirian. Malangnya, banyak pesakit gagal mengikuti arahan doktor mereka dan sewenang-wenanagnya berhenti mengambil ubat mereka (atau tidak pun mengawal diet mereka).

Kadang-kala, kesan sampingan boleh berlaku dengan ubat-ubatan. Bincanglah dengan doktor atau ahli farmasi anda jika anda mempunyai sebarang kebimbangan atau mengalami apa-apa masalah. Ubat alternatif biasanya ada tersedia.

Menyimpan Rekod

Adalah penting bagi penghidap diabetes untuk mengesan tahap glukosa darah harian. Mereka memastikannya dengan melakukan ujian SMBG (pemantauan sendiri glukosa darah) di rumah. Untuk mengetahui kesan makanan, eksersais dan ubat-ubatan, tulislah di dalam buku harian:

– Bacaan glukosa darah

– Makanan yang diambil

– Eksersais (jenis dan tempoh) dilakukan

– Ubat yang diambil

– Berat badan 

– Apa-apa masalah yang dihadapi,

Bincanglah dengan doktor pada setiap lawatan klinik.

Sebagai sebahagian daripada lawatan berkala dengan doktor, penghidap diabetes akan menjalani beberapa pemeriksaan dan ujian. Sebahagian daripadanya akan dilakukan pada setiap kali lawatan manakala yang lain akan dilakukan selepas selang lebih lama (lihat Kotak di atas).

Dengan mengadakan satu rekod mudah, penghidap diabetes akan dapat mengelak dari ketingalan sebarang ujian atau pemeriksaan dan dapat mengesan kemajuan diri anda.

(Bernama)

Share
Kategori: Uncategorized

VIDEO POPULAR