- BL Harian - http://bldaily.my -

Langkah tinggalkan BAM bagus untuk kemajuan badminton negara – Ewe Hock

Tindakan beberapa pemain kebangsaan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) boleh dianggap sebagai perkembangan yang baik untuk sukan itu, kata bekas pemain perseorangan lelaki negara Ong Ewe Hock.

Beliau berkata ini kerana peluang sebagai pemain badminton profesional pada masa ini lebih luas berbanding dahulu yang boleh dianggap gelap masa depan jika pemain keluar daripada badan induk badminton negara itu.

Ewe Hock yang merupakan sebahagian pasukan negara yang muncul naib juara Piala Thomas sebanyak tiga kali itu turut berharap kelab badminton dan syarikat swasta merebut peluang ini dengan mengikat pemain yang meninggalkan BAM serta memberikan mereka sokongan untuk bersaing di arena antarabangsa.

“Kita perlu mencontohi negara-negara seperti Jepun, Taiwan dan Thailand yang mempunyai sistem kelab yang bagus. Memang pemain akan mengalami kesukaran sebagai pemain profesional terutamanya dari segi kewangan.

“Saya berharap syarikat-syarikat besar tampil memberi sokongan kepada pemain bukan di bawah naungan BAM. Pihak syarikat juga boleh menubuhkan kelab atau akademi sendiri seperti syarikat Unisys di Jepun yang menggunakan bajet sendiri untuk jalankan operasi,” katanya di sini hari ini.

Pemilik Kelab Badminton Serdang (Serdang BC) itu berkata syarikat-syarikat terkemuka boleh menggunakan khidmat bekas pemain untuk mengendalikan kelab tersebut.

Tiga hari lalu peminat badminton negara dikejutkan dengan keputusan pasangan beregu campuran nombor satu negara yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying keluar BAM.

Sebelum itu, beberapa pemain seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Tee Jing Yi, Chooi Kah Ming dan Lim Khim Wah meninggalkan BAM dengan pelbagai alasan.

Baru-baru ini, timbul spekulasi satu lagi pasangan pemenang pingat perak di Rio, iaitu beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong bakal mengikuti langkah keluar daripada BAM kerana sering dikritik berikutan prestasi tidak konsisten.

Ditanya mengenai keputusan BAM untuk mengecilkan saiz skuad kebangsaan dengan menggugurkan pemain serta jurulatih yang tidak menunjukkan prestasi baik, Ewe Hock berkata ia merupakan satu tindakan yang tepat.

“Secara peribadi saya rasa kalau BAM buat macam itu, satu tindakan yang bagus sebab BAM sudah cakap tak mampu nak jaga pemain seramai ini,” katanya yang keluar BAM pada 2003.

Sementara itu, Ewe Hock berkata Serdang BC akan meneruskan tradisinya sebagai pasukan yang menumpukan pembangunan pemain muda menerusi saingan SS Purple League dengan mengetengahkan bakat-bakat muda yang berpotensi apabila musim baharu membuka tirai pada hujung minggu ini.

(Bernama)