Bukan mudah untuk seseorang membuat keputusan meninggalkan tanah air dan mencuba nasib di perantauan apatah lagi untuk terus menetap di negara asing.

Namun Kartini Mohd Mustafa menerima keputusan suaminya untuk bersama-sama anak-anak mereka pindah dan memulakan kehidupan baharu di Adelaide, Australia, sebagai sesuatu yang ditakdirkan dan yakin ada hikmahnya.

Sentiasa berperwatakan ceria dan bertutur dengan loghat kampung halamannya – Pulau Pinang, Kartini mesra dengan panggilan “Aunty Tini Bling Bling”, kerana sentiasa mengenakan aksesori yang bergemerlapan seperti kerongsang, gelang dan cincin.

Penulis yang melancong ke bandar Selatan Australia ketika musim panas baru-baru ini sempat menemu bual beliau yang sudah menetap di bumi Kangaroo ini sejak lebih 25 tahun lalu.

Walaupun sudah lama meninggalkan tanah air, jiwanya masih tebal dengan ciri-ciri kemelayuan dan mengharapkan anak-anaknya serta generasi Melayu di negara ini tidak lupa asal-usul mereka.

Kartini Mohd Mustafa (dua, kanan) berpakaian sedondon bersama anggota keluarganya bersama pasangan pengantin yang merupakan pelajar Malaysia di Adelaide selepas majlis akad nikah yang diadakan di rumahnya tahun lalu.
Hubungan beliau dengan rakyat dan pelajar Malaysia di sini juga sangat erat dan sudah menjadi kebiasaan untuk menganjurkan keramaian atau keraian di kediamannya. (Foto: Bernama)

HIMPUN KETURUNAN MELAYU

Sebagai isteri dan suri rumah, ibu kepada lima anak lelaki ini tidak menghadkan tanggungjawabnya sekadar di rumah sahaja malah giat berbakti kepada masyarakat setempat.

Melalui kesepakatan dan perbincangan, komuniti Melayu di Adelaide menubuhkan Adelaide-Malay Association Inc (AMAI) pada Mei lalu khusus untuk menghimpunkan keturunan Melayu di bandar ini.

“AMAI ditubuhkan untuk menyatukan dan menjaga hal ehwal masyarakat Melayu di Adelaide.

“Antara aktiviti-aktiviti yang AMAI kendalikan termasuklah kelas Bahasa Melayu, demo masakan tradisi dan sukaneka rakyat,” katanya sambil menambah bahawa setakat ini AMAI mempunyai lebih 100 ahli termasuk Melayu Singapura.

AMAI juga ditubuhkan untuk menerapkan budaya Melayu di kalangan anak-anak masyarakat Melayu yang menetap dan membesar di Adelaide agar tidak melupakan jati diri bangsa mereka selain mempromosi budaya kehidupan masyarakat Melayu kepada penduduk setempat.

DUTA TIDAK RASMI

“Ini kerana sebagai ibu bapa, kami tidak mahu anak-anak mengikut gaya hidup ‘mat salleh’ disebabkan mereka jauh dari negara asal mereka.

“Sebagai contoh, AMAI fokus dengan kelas intensif Bahasa Melayu dan Jawi melalui program Adelaide Malay School yang dikendalikan oleh guru-guru berkelayakan,” jelas beliau.

Kartini yang merupakan Ketua Hal Ehwal Wanita AMAI berkata, persatuan itu juga berhasrat untuk menjadi “duta tidak rasmi Malaysia di Adelaide” bagi membantu memberi informasi kepada mana-mana pelancong dari Malaysia yang mengunjungi bandar ini memandangkan Kedutaan Malaysia terletak jauh di Canberra.

Sebelum penubuhan AMAI, Kartini yang merupakan pemegang ijazah dalam bidang Sains dari Univesity of Adelaide melibatkan diri secara aktif dengan organisasi bukan kerajaan yang dikenali sebagai Human Appeal International Australia (HAIA).

“Ini bermula kira-kira dua setengah tahun lalu, apabila saya mendapat tahu Human Appeal memerlukan sukarelawan untuk membuka kedai barang terpakai berhampiran kawasan rumah saya.

TAWARKAN DIRI

“Saya yang sememangnya sentiasa berminat untuk melakukan kerja-kerja amal dan kesukarelawanan pergi berjumpa Ketua Pengurus Besar HAIA untuk menawarkan diri sebagai sukarelawan,” katanya.

Selepas enam bulan berkhidmat di kedai berkenaan, beliau ditawarkan jawatan sebagai Penolong Pengurus di Living & Giving Store – satu inisiatif oleh Human Appeal untuk menjual barangan terpakai yang disumbangkan oleh masyarakat.

“Di sini saya bersama Pengurus Kedai, Julia Booker dan sukarelawan lain bersama-sama menguruskan kedai ini, bermula dari menerima barangan yang diderma oleh orang awam, mencuci dan membaiki dan seterusnya menjual barangan itu,” katanya.

Living & Giving Store menjual barangan terpakai dengan harga serendah 50 cent (RM1.50) sehingga mencapai beberapa ratus dolar Australia yang meliputi pelbagai jenis barangan termasuk pakaian, mainan kanak-kanak, kelengkapan rumah dan peralatan elektrik.

Mereka dibantu oleh kira-kira dua hingga empat orang sukarelawan pada satu-satu masa, yang mana mereka merupakan individu di bawah program kendalian kerajaan Australia iaitu Work for Dole. Di bawah program ini, golongan yang mencari kerja diberikan pendedahan dan pengalaman bekerja yang boleh menyumbang kepada komuniti dan membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

PEMBERIAN WANG SAKU

Di Australia, kata Kartini, penduduk yang berpendapatan rendah akan di bantu oleh kerajaan melalui pemberian wang saku dengan mensyaratkan mereka menjalankan kerja kesukarelawanan selama enam bulan sehingga setahun bergantung kepada kontrak.

Selain menguruskan kedai NGO itu, Kartini bersama Julia juga membantu para sukarelawan dalam menyiapkan diri dengan kemahiran-kemahiran tertentu yang boleh digunakan untuk mencari pekerjaan tetap di tempat lain.

“Living & Giving telah mendapat respons yang baik dari masyarakat setempat terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan kerana harganya yang amat murah berbanding barangan baharu dengan transaksi jualan sekitar AU$500 sebulan,” katanya.

Selain menjual barangan terpakai, beliau bersama rakyat dan pelajar Malaysia di sini turut membuka gerai mengadakan jualan “ala pasar malam” yang menjual menu makanan Malaysia di di kawasan kedai itu.

Jualan yang dibuat sebulan sekali itu mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat dan makanan seperti char kuetiau, nasi lemak, roti canai dan teh tarik habis terjual setiap kali penganjuran.

GOTONG-ROYONG KENDURI

Hubungan beliau dengan rakyat dan pelajar Malaysia di sini juga sangat erat dan sudah menjadi kebiasaan untuk menganjurkan keramaian atau keraian di kediamannya.

“Saya memang mempunyai hubungan erat dengan pelajar Malaysia terutamanya dari universiti di bandar Adelaide, malah menawarkan rumah saya sebagai tempat untuk majlis perkahwinan sepasang pengantin pelajar Malaysia di rumah saya,” katanya.

Kenduri kahwin itu dihadiri kedua-dua keluarga pengantin serta lebih 150 tetamu dan pelajar Malaysia di sini bergotong-royong untuk melangsungkan majlis berkenaan.

Majlis itu adalah salah satu detik manis bagi Kartini dan keluarganya khusus untuk merasai suasana keramaian kenduri-kendara seperti di Malaysia.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR