- BL Harian - http://bldaily.my -

Perkahwinan Gemilang Yang Membazirkan Di India

Bintang badminton India, Saina Nehwal yang berusia 28 tahun, melangsungkan perkahwinannya baru-baru ini, yang dianggap sebagai musim perkahwinan selebriti.

Saina, pemain badminton pertama negara ini yang berjaya meraih pingat Olimpik, berkahwin dengan rakan sepasukan Parupalli Kashyap, 32, dalam satu ‘majlis ringkas’ di bandar Hyderabad.

Majlis mereka ternyata berbeza dengan kegemilangan yang ditampilkan pada majlis perkahwinan dua aktres Bollywood, Priyanka Chopra dan Deepika Padukone, atau ketika Isha, 27, anak perempuan tokoh perniagaan terkemuka India, Mukesh Ambani, melangsungkan perkahwinannya dengan anak lelaki seorang lagi hartawan negara ini.

India terkenal dengan majlis perkahwinan yang penuh meriah dan gemilang, selain ia dianggap tidak lengkap tanpa iringan lagu dan tarian Bollywood. Malah, industri hiburan India dilihat amat mempengaruhi masyarakatnya berhubung soal cinta, hubungan dan perkahwinan.

Bukan sahaja keluarga kaya sedia berbelanja besar untuk sesebuah majlis perkahwinan. Keluarga kelas pertengahan juga tidak terkecuali kerana mahu majlis perkahwinan mereka turut diingati ramai bagi perkara seperti bilangan tetamu yang hadir, kuantiti emas yang dipakai oleh pengantin perempuan, pelbagai hidangan yang disajikan serta kualiti hiburan yang disediakan.

Ini bukanlah perkara luar biasa kerana ramai yang sanggup berbelanja lebih daripada apa yang mereka mampu bagi mengadakan majlis perkahwinan, dengan mereka sering meniru apa yang ditampilkan dalam filem.

Elemen keunikan turut menentukan sama ada sesuatu majlis perkahwinan itu akan diperkatakan ramai atau tidak.

Selain daripada tarikan sebagai bintang filem, Deepika dan suaminya yang juga pelakon, Ranveer Singh, meraih publisiti meluas apabila mengadakan majlis perkahwinan yang eksklusif di sebuah venue yang menghadap Tasik Como di Itali.

Priyanka, 36, dan penyanyi Amerika Syarikat, Nick Jonas, 26, pula melangsungkan perkahwinan mereka di bandar Jodhpur di Rajasthan.

Gambar dan video perkahwinan itu menjadikan venue majlis-majlis berkenaan kelihatan seperti set penggambaran dan menjana liputan meluas pihak media.

Artikel kurang menarik tentang perkahwinan mereka yang dipaparkan dalam seksyen gaya hidup wanita majalah terbitan New York, The Cut, juga ditarik balik selepas ia menimbulkan kekecohan dalam media sosial.

Majlis perkahwinan terbesar di India tahun ini menyaksikan dua keluarga jutawan negara itu mengeratkan lagi hubungan mereka.

Upacara perkahwinan Isha Ambani kepada Anand Piramal, 32, yang merupakan anak lelaki tokoh perindustrian Ajay Piramal, pastinya dikenang ramai kerana ia menampilkan kemewahan, glamor, kuasa politik selain majlis keraian berhari-hari lamanya.

Bapa pengantin lelaki dianggap bernilai AS$4.3 bilion, menurut majalah Forbes, manakala bapa pengantin perempuan, yang merupakan pengerusi konglomerat Reliance Industries, pula dianggar bernilai AS$43 bilion serta mempunyai sebuah rumah paling mahal di dunia.

Ambani memiliki rumah agam 27 tingkat, yang dikenali sebagai Antilia, yang turut menjadi mercu tanda penting di Mumbai, iaitu kota kewangan India.

Pasangan pengantin baharu itu juga menerima sebuah rumah berkeluasan 50,000 kaki persegi yang menghadap laut di kawasan Worli di selatan Mumbai sebagai hadiah perkahwinan mereka.

Beratus-ratus tetamu dibawa menghadiri majlis praperkahwinan mereka di bandar Udaipur, Rajasthan dengan menaiki penerbangan sewa khas ??selain? dihiburkan dengan persembahan penyanyi terkemuka Amerika Syarikat, Beyonce serta bintang filem India iaitu Salman Khan, Shahrukh Khan dan Aishwarya Rai.

Bekas setiausaha negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton dan John Kerry, juga dilihat menari bersama-sama keluarga Ambani dan para pelakon India itu dengan diiringi alunan lagu-lagu filem.

Majlis perkahwinan itu berlangsung di Mumbai pada 12 Dis lalu.

Para tetamu yang menghadiri majlis itu merangkumi ahli perniagaan, ahli politik dan serta bintang terkemuka dunia hiburan menyebabkan wartawan berdepan cabaran untuk mendokumen segala-galanya tentang ‘perkahwinan paling hebat dan gemilang’ itu.

Menurut laporan, majlis perkahwinan itu menelan belanja berjumlah tujuh bilion rupee (kira-kira AS$100 juta).

Ramai juga yang mengkritik tentang majlis perkahwinan secara besar-besaran itu dalam media sosial dengan menyatakan berjuta-juta penduduk di India tidak mampu pun untuk membayar dua kali makanan sehari.

Tiada salahnya untuk membangkitkan tentang jurang ketidaksamaan yang amat besar di India, namun apa yang dibelanjakan Ambani untuk majlis perkahwinan anak perempuannya itu hanyalah sekelumit kecil sahaja jika dibandingkan dengan kemewahan yang dimilikinya.

(Video: Youtube)

(Bernama)