Kementerian Industri Utama akan menjalankan projek perintis bagi membolehkan tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dibuat secara dalam talian, kata Timbalan Menterinya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata projek yang bakal dilaksanakan di Melaka itu bertujuan memudahkan pekebun kecil getah membuat tuntutan IPG seterusnya meningkatkan jumlah yang membuat tuntutan.

Katanya sejak Januari hingga November lepas, kira-kira 20 peratus daripada 450,000 pekebun kecil getah di seluruh negara telah membuat tuntutan.

“Secara puratanya hanya 60 tuntutan bagi tempoh sebulan yang dibuat oleh pekebun kecil getah dan Sarawak merupakan negeri terendah memohon insentif berkenaan.

“Sekarang ini kita sedang mengadakan satu ‘pilot project’ (projek perintis) kerana ketika ini tuntutan tersebut dilakukan secara manual dan ia agak menyukarkan pekebun kecil membuat tuntutan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Taklimat IPG dan Penghasilan Getah Berkualiti Meningkatkan Pendapatan Pekebun Kecil Getah di Dewan Seri Mercu, Manong di sini hari ini (19 Dis).

Objektif utama program itu adalah untuk menyampaikan taklimat IPG dan penerangan mengenai Penghasilan Getah Berkualiti bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.

Shamsul Iskandar berkata antara sebab pekebun tidak membuat tuntutan ialah kedudukan pejabat Lembaga Getah Malaysia di kawasan masing-masing yang agak jauh dari tempat mereka sehingga merasakan ia tidak berbaloi.

Beliau berkata mekanisme IPG yang dilaksanakan sejak 2015 itu bertujuan untuk meringankan beban pekebun kecil di samping memberi galakan kepada mereka untuk terus menoreh sewaktu harga getah rendah di pasaran.

Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan kenaikan Paras Harga Pengaktifan (PHP) bagi IPG daripada RM2.20 kepada RM2.50 bagi sekilogram getah beku di peringkat ladang.

Melalui peningkatan PHP sebanyak RM0.30 daripada kadar sebelum ini, pekebun kecil akan menikmati harga yang lebih baik bagi setiap kilogram getah yang dihasilkan berdasarkan harga getah semasa.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Gaya Hidup

VIDEO POPULAR