Jari-jemarinya cekap mengarang biji-biji manik berwarna kuning, hitam dan putih dengan teliti untuk membentuk rantai leher.

Sesekali matanya memerhati skrin telefon bimbit yang memaparkan cara-cara pembikinan dan susun atur motif untuk menghasilkan rantai leher manik di laman YouTube.

Setelah satu jam menekuni manik-manik itu, Dickson Noyen mengukir senyuman sebaik sahaja rantai bermotif etnik suku kaum Bidayuh itu siap. Beliau diulit rasa bangga, nyata seorang lelaki mampu menghasilkan aksesori wanita.

Walaupun aksesori manik sinonim dengan kaum wanita, pesara guru berusia 59 tahun itu sangat meminati kerja-kerja menghasilkan aksesori tradisional yang menjadi identiti kaum Bidayuh, Orang Ulu dan Iban itu.

Segalanya bertitik tolak kira-kira lima tahun lalu. Mulanya ia sekadar hobi bagi mengisi masa lapang, lama-kelamaan menjadi sumber pendapatan berikutan permintaan rakan-rakan dan orang ramai.

“Malah, kerja-kerja ini memberi pendapatan agak lumayan,” katanya kepada Bernama.

TIDAK LEMAH SEMANGAT

Mengakui sangat meminati bidang fesyen, beliau yang berasal dari Kampung Stenggang, Bau, Sarawak, juga pernah belajar menjahit pakaian kira-kira setahun sebelum seni manik.

“Siang saya mengajar Bahasa Inggeris di sekolah, malam saya belajar menjahit. Mula-mula saya reka fesyen untuk orang jahit, tapi bila sudah cekap, saya jahit sendiri,” jelasnya sambil menambah bahawa ada juga rekaannya yang dihantar untuk dijahit oleh pihak lain.

Minat terhadap aksesori manik lahir setelah menyedari bahawa agak sukar untuk orang ramai mahupun kalangan masyarakat Bidayuh mendapatkan aksesori lengkap untuk digandingkan dengan pakaian tradisional etnik itu.

“Saya yang menjahit pakaian tradisional untuk wanita dan lelaki Bidayuh juga mendapati sukar hendak mendapatkan aksesori lengkap untuk pakaian itu.

“Secara tidak langsung, keadaan ini menjadi inspirasi untuk saya menghasilkan produk manik sendiri,” tambah beliau yang dikenali sebagai Kodek – nama timang-timangan sejak kecil diberikan oleh ibunya.

Mengimbau ketika mula membuat aksesori manik, Dickson memberitahu bahawa hasil tangannya yang pertama adalah membuat rantai untuk padanan pakaian tradisional Bidayuh.

“Saya tak ingat berapa kali saya ‘try and error’. Tapi itu tak melemahkan semangat saya kerana sebenarnya kerja-kerja ini agak mudah, selagi ada bahan dan tahu motif yang ingin dihasilkan.

“Oleh itu, saya selalu lukis dan rancang sebelum pilih motif, warna dan jenis manik yang hendak digunakan,” jelas beliau.

Beliau tidak menghasilkan aksesori yang motifnya serupa dengan banyak, walapun mendapat sambutan. Ini kerana, orang ramai tidak menempah dalam kuantiti yang banyak, sekadar satu atau dua pasang untuk kegunaan sendiri.

TANGGAL DAN PASANG

Apa yang menarik adalah pesara guru itu tidak pernah menghadiri mana-mana kelas membuat aksesori manik sebaliknya belajar melalui buku dan laman-laman YouTube.

“Pada masa sama, saya juga membeli perhiasan manik yang sudah siap, saya akan tanggal dan pasang semula semata-mata untuk mempelajari seni kerja manik ini.

“Daripada situ, saya mula belajar membuat corak yang pelbagai untuk beberapa aksesori termasuk rantai leher, subang dan rantai tangan,” katanya.

Beliau memberi tumpuan kepada motif rekaan sendiri yang menggunakan empat warna asas iaitu merah, hitam, kuning dan putih. Pakaian dan aksesori maniknya dijual di bawah jenama Kodek’s Collections.

Lelaki dari etnik Bidayuh itu lebih menumpukan perhatian kepada aksesori dengan motif identiti kaum Bidayuh walaupun terdapat permintaan daripada pelanggan etnik lain.

Tempoh yang diambil untuk menyiapkan sesuatu aksesori bergantung kepada motif yang ingin dihasilkan.

“Paling lama pun tiga hari. Tapi kalau susun atur manik itu sudah biasa dibuat, boleh disiapkan tiga atau empat utas pada hari yang sama. Saya pernah buat 20 utas kalung manik dalam sehari,” jelas beliau.

TIDAK SIA-SIA

Usahanya itu tidak sia-sia apabila mendapat banyak tempahan untuk menghasilkan Panggieh (bahasa Bidayuh) yang merupakan perhiasan leher, daripada penduduk setempat dan masyarakat luar yang meminati perhiasan bermotifkan etnik Bidayuh.

Dickson memilih manik jenis kaca yang dibeli dari Indonesia dan Korea.

“Ini kerana, manik dari dua negara ini sangat berkualiti dan banyak ‘review’ daripada pembacaan saya mengatakan bahawa manik dari negara-negara ini adalah antara yang terbaik dengan harga berpatutan.

“Oleh itu, saya sanggup pergi ke sana terutama ke sebuah kampung bernama Jombang di Surabaya untuk memilih dan membeli manik-manik kaca yang unik,” kata beliau.

Perhiasan manik dijual dengan harga antara RM25 hingga RM250 mengikut jenis corak, jenis manik yang digunakan serta proses pembuatan kraftangan itu.

KELAS KRAFTANGAN MANIK

Trend terkini juga menyaksikan ramai kaum wanita menggayakan aksesori manik ketika menghadiri majlis makan malam, ke pejabat malah sebagai perhiasan harian, bukan hanya untuk dipasangkan dengan pakaian tradisional.

Memandangkan sudah bersara, beliau bukan sahaja mempunyai banyak masa untuk membuat kraftangan manik serta baju tradisional, malah sering memenuhi jemputan untuk mengadakan kelas kraftangan manik.

Lebih menarik, kelas-kelas itu bukan sahaja untuk golongan wanita yang ingin mencari pendapatan sampingan malah dibuka kepada pelajar sekolah rendah yang mahu mengisi waktu lapang selepas peperiksaan atau ketika cuti sekolah.

“Saya membuat kerja-kerja manik di rumah di Kuching dan memasarkan produk siap melalui laman sosial.

“Saya juga memenuhi undangan mengadakan pameran anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Sarawak, badan-badan bukan kerajaan berkaitan budaya serta majlis-majlis tertentu,” ujarnya.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Gaya Hidup

VIDEO POPULAR