FGV Holdings Bhd (FGV) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan China Machinery Engineering Corporation (CMEC) untuk meneroka potensi usaha sama atau kerjasama dalam membangunkan kemudahan pengeluaran kertas pulpa serta pengedaran dan pengkomersilan perniagaan produk berkenaan ke pasaran global.

Perniagaan utama CMEC adalah kontrak kejuruteraan, pakar dalam pembinaan projek jana kuasa, perdagangan, pelaburan, penyelidikan dan pembangunan serta perkhidmatan antarabangsa.

Syarikat itu kini disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong dengan permodalan pasaran sebanyak HKD15.88 bilion (kira-kira RM8.58 bilion).

Ia bekerjasama dengan institut penyelidikan di Hangzhou dan Guangxi, menggunakan teknologi untuk menukar tandan buah kosong (EFB) kepada kertas pulpa untuk dimomersialkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, memandangkan turun naiknya harga minyak sawit mentah, inisiatif ini adalah sejajar dengan strategi FGV untuk memberi tumpuan kepada aktiviti hiliran, dengan mengoptimumkan penggunaan produk sampingan daripada operasi sedia ada untuk mencipta nilai kepada kumpulan.

“FGV menghasilkan kira-kira 3.47 juta tan metrik EFB setahun daripada 68 kilang sawit di seluruh Malaysia.

“Projek hijau ini juga selari dengan inisiatif sisa kepada nilai dalam usaha memastikan kemampanan operasi kami,” kata Azhar dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dengan MoU ini, FGV berharap dapat meneroka peluang untuk mengintegrasikan operasi kilang sedia ada dengan kepakaran kejuruteraan CMEC bagi membangunkan kemudahan pengeluaran kertas pulpa dengan kapasiti permulaan 50,000 tan metrik setahun.

Selain itu, FGV boleh memanfaatkan kejuruteraan dan pengetahuan luas CMEC dalam pasaran pulpa di China, katanya.

“Kesedaran orang ramai mengenai penggunaan produk hijau dan mampan seperti kertas pulpa meningkat setiap tahun.

“Ini adalah peluang perniagaan terbaik untuk diterokai FGV dan kami mempunyai kelebihan kerana memiliki jumlah bahan mentah yang banyak,” tambah Azhar.

Industri pulpa dan kertas China telah berkembang pesat dengan mencatat pertumbuhan 182.3 peratus dari 2006 hingga 2016.

Menurutnya, ia selaras dengan peningkatan jumlah import kertas pulpa China antara 2009 hingga 2017 sebanyak 73.4 peratus dengan 23.72 juta tan metrik yang diimport pada 2017.

FGV dijangka mampu memanfaatkan permintaan tinggi kertas pulpa di China memandangkan harganya mencecah hampir AS$900 satu tan metrik, tambah beliau.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Ekonomi

VIDEO POPULAR