Banjir besar memaksa lapangan terbang Roatan di Honduras ditutup dan kejadian itu disifatkan bencana paling buruk pernah melanda negara itu dalam tempoh lebih 20 tahun.

Pihak berkuasa menutup lapangan terbang itu berikutan jarak penglihatan yang rendah selain beberapa wilayah digenangi air banjir. 

Lebih 5,000 penduduk di utara Colon, Atlantida, Cortes dan Pulau Bahia terjejas serta mengalami suhu rendah dan hujan lebat sejak minggu lalu.

Banyak kawasan diletakkan dalam zon kuning manakala ramai penduduk terpaksa dipindahkan berikutan kejadian tanah runtuh dan air sungai melimpah.

Hujan lebat, banjir dan tanah runtuh di Honduras pada Oktober lalu menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh sementara 7,000 penduduk terjejas dan lebih 3,000 terpaksa dipindahkan. 

Indeks Risiko Iklim Global (IRC) Germanwatch 2018 mendapati “antara tahun 1997 dan 2016, Honduras adalah negara di dunia yang paling teruk terjejas disebabkan cuaca ekstrem”. 

Menurut Germanwatch, dalam tempoh itu Honduras dilanda 62 bencana cuaca termasuk Taufan Hurricane. Negara yang hanya mempunyai sembilan juta penduduk itu juga sering mengalami fenomena El Niño dan La Niña di samping kemarau.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Global

VIDEO POPULAR