Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan mahu anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menarik balik keputusan meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR.

Pengerusi PKR Kelantan Datuk Seri Mohd Supardi Md Noor berkata rata-rata cabang parti di negeri itu mahu Nurul Izzah kekal sebagai Naib Presiden.

“Saya sudah menghubungi ketua-ketua cabang dan mereka memberikan mandat kepada saya untuk memohon kepada beliau (Nurul Izzah) menarik keputusannya meletakkan jawatan.

“Secara khususnya parti baik peringkat negeri mahupun pusat memerlukan khidmat kepimpinan muda seperti Nurul Izzah,” katanya dihubungi Bernama di sini, hari ini (17 Dis).

Nurul Izzah hari ini membuat pengumuman mengejutkan apabila meletak jawatan Naib Presiden PKR dan melepaskan jawatan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Mohd Supardi berkata Nurul Izzah disifatkan sebagai pemimpin yang mempunyai kesungguhan memperjuangkan parti dan rakyat.

“Dia seorang pemimpin yang sudah lama berjuang untuk parti selain seorang yang berjiwa besar dalam pembentukan parti PKR,” katanya.

Sementara itu, berhubung dengan pelantikan beliau sebagai pengerusi PKR Kelantan Mohd Supardi memohon cabang-cabang parti di negeri ini mempertingkatkan jumlah keanggotaan parti terutamanya golongan muda.

“Golongan muda penting kerana gologan ini akan menentukan sama ada menang atau kalah parti selain kekuatan golongan lama.

“Paling penting kita perlu ada istiqamah untuk berjuang dan bergerak dari sekarang untuk menawan Kelantan,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR