- BL Harian - http://bldaily.my -

Sultan, Sultanah Kedah berangkat ke Perarakan Kereta Berhias

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenan berangkat menghadiri Perarakan Kereta Berhias yang diadakan di Dataran Medan Bandar di sini, malam ini.

Keberangkatan tiba Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha pada 9 malam disambut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) negeri, Datuk Dr Ismail Salleh yang mewakili Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din dan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perarakan Kereta Berhias.

Sultan Sallehuddin kemudian berkenan menyempurnakan perasmian perarakan yang diadakan bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 itu dengan memukul gong sebanyak tiga kali sebelum perarakan bermula.

Sebanyak 21 agensi daripada jabatan kerajaan di peringkat daerah, negeri dan persekutuan, badan berkanun, syarikat swasta, GLC dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan sejauh 5.1 kilometer yang bertemakan ‘Kedah Aman Makmur Dibawah Naungan Tuanku’ itu.

Antara agensi mengambil bahagian ialah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Jabatan Kerja Raya (JKR), Perbadanan Menteri Besar termasuk Bahtera Layang Emas yang membawa Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha sempena Istiadat Perarakan dan Perbarisan Kehormatan pada 20 Okt lepas.

Perarakan berkenaan bermula dari Stadium Darul Aman hingga ke Dataran Medan Bandar dan berakhir di Jalan Stadium, dan semua kereta berhias akan diletakkan di lot parkir khas di Stadium Darul Aman bagi memberi peluang kepada orang ramai bergambar dan melihat kecantikan kereta berhias dari jarak dekat.

Orang ramai turut dihiburkan dengan pertunjukan bunga api serta persembahan jalanan seperti tarian kebudayaan, pancaragam, kawad senyap, gendang silat dan motor klasik. 

Sementara itu, tempat pertama perarakan kereta berhias dimenangi Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang berjaya membawa pulang wang berjumlah RM5,000, sijil dan plak penyertaan yang disampaikan Sultan Sallehuddin.

Tempat kedua yang membawa pulang RM3,000, sijil dan plak penyertaan dimenangi Jabatan Kerja Raya (JKR) manakala Kulim Hi-Tech Park Corporation Sdn Bhd memenangi tempat ketiga dan membawa pulang RM1,500, sijil dan plak penyertaan, sementara sagu hati akan menerima sijil dan plak penyertaan.

(Bernama)