Kerajaan Persekutuan akan mengadakan satu perbincangan dengan kerajaan-kerajaan negeri termasuk pihak yang berkaitan bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi masyarakat Orang Asli di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy berkata ia susulan daripada lawatannya ke beberapa perkampungan Orang Asli di Kahang dekat Kluang, di sini, yang rata-rata mempuyai masalah yang sama iaitu bekalan air bersih, bekalan elektrik dan tanah adat yang tidak diwartakan.

“Melalui tinjauan yang dilakukan hari ini, banyak lagi keperluan masyarakat Orang Asli yang perlu dibuat penambahbaikan bagi memastikan mereka mempunyai kemudahan asas untuk menjalani kehidupan seharian.

“Masalah utama yang diutarakan Orang Asli adalah tanah adat yang masih belum diwartakan. Oleh itu, kita akan cuba cari satu jalan penyelesaian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Adat Kampung Orang Asli Pucur di Pekan Kahang dekat sini hari ini.

Sementara itu, Waytha Moorthy berkata melalui Belanjawan 2019 sebanyak RM107 juta telah diperuntukkan untuk membangunkan prasarana serta keperluan utiliti masyarakat Orang Asli di seluruh negara dan ia akan digunakan secara optimum serta berperingkat.

Beliau berkata bagi keperluan utiliti seperti bekalan air bersih serta elektrik, ia akan diberikan perhatian sepenuhnya oleh kerajaan pusat dan akan ditangani secara berhemah sepanjang tempoh pelaksanaannya nanti.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut mengadakan sesi dialog bersama penduduk Kampung Orang Asli Sungai Peroh dan Kampung Orang Asli Pucur, bagi memberi peluang kepada mereka memberi pendapat selain meluahkan masalah yang dihadapi mereka.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR