- BL Harian - http://bldaily.my -

Pelaksanaan MSAP berjaya turunkan harga perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi

Pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) berjaya menurunkan harga perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi oleh penyedia perkhidmatan tersebut.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata pelaksanaannya juga berjaya meningkatkan kelajuan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi serta meningkatkan jumlah pelanggan.

“Penurunan harga dicatatkan ialah antara 34 dan 56 peratus manakala peningkatan kelajuan yang dicatatkan ialah antara tiga dan 10 kali ganda.

“Kesemua penyedia perkhidmatan utama telah menurunkan harga untuk perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi seperti diumumkan pada 7 Okt lalu,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau juga berkata peningkatan jumlah pelanggan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi turut dicatatkan menerusi MSAP, iaitu lapan hingga 19 peratus.

Mengenai liputan telekomunikasi di kawasan perkampungan Orang Asli, Eddin Syazlee berkata 96 menara komunikasi telah dibina bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar mudah alih di sekitar kawasan perkampungan kumpulan itu di tujuh negeri.

“Daripada 96 menara komunikasi itu, 25 menara komunikasi telah dibina di Perak manakala 19 menara komunikasi telah dibina di Pahang.

“Proses penambahbaikan kualiti perkhidmatan komunikasi di kawasan luar bandar termasuk perkampungan Orang Asli adalah proses yang berterusan dari semasa ke semasa,” katanya.

Berhubung pembangunan industri kreatif, Eddin Syazlee berkata peruntukan pembangunan Dasar Industri Kreatif Negara bagi 2019 dan 2020 adalah berbentuk geran bersasar.

“Ia memfokuskan kepada penggiat industri yang mampu untuk meningkatkan nilai kandungan digital dihasilkan dengan memberi tumpuan kepada aspek komersial dan kualiti tinggi. Fokus diberikan kepada penggiat industri muda dan penggiat industri profesional,” katanya.

Persidangan dewan bersambung esok.

(Bernama)