Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy berkata beliau berkongsi kesedihan keluarga anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meninggal dunia malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN) susulan insiden rusuhan di sebuah kuil bulan lepas.

Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai anggota bomba yang berani dan berwibawa dan telah berkhidmat untuk negara dengan penuh dedikasi.

Pihak polis, katanya, sedang bekerja keras bagi memastikan pesalah jenayah kejam yang menimpa Allahyarham di bawa ke muka pengadilan dengan pantas.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Muhammad Adib …kami berkongsi kesedihan keluarganya dan negara berkabung bersama keluarga Muhammad Adib dalam masa getir ini,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.

Dalam menggesa semua rakyat untuk memanjatkan doa buat Allahyarham, menteri yang bertanggung jawab bagi perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial itu menarik perhatian bahawa fabrik sosial negara ini terbina daripada perpaduan dan keamanan yang dikecapi sejak sekian lama.

Muhammad Adib cedera parah susulan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lalu ketika bertugas dalam operasi memadam kebakaran di hadapan premis berkenaan. Allahyarham meninggal dunia 9.41 malam tadi di IJN.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menyifatkan pemergian anggota bomba sebagai peristiwa sedih buat semua rakyat Malaysia.

“Salam takziah kepada keluarga arwah Muhammad Adib dan seluruh warga bomba. Berita yang sangat sedih untuk semua rakyat Malaysia.

Semoga kita semua tabah dalam menghadapi dugaan ini bersama,” kata Gobind menerusi catatan di akaun Twitternya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR