Helikopter yang membawa jenazah anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, selamat mendarat di padang Sekolah Kebangsaan Tebengau, Kuala Kedah di sini, pada pukul 10.29 pagi.

Dianggarkan kira-kira 1,000 penduduk tempatan dan orang ramai yang menunggu sejak pukul 8 pagi tadi di dalam dan luar kawasan sekolah itu, menyaksikan ‘kepulangan’ Muhammad Adib yang disahkan meninggal dunia malam tadi.

Jenazah ditemani ibu, bapa dan tunangnya diterbangkan dari Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Subang, Selangor pada 7.55 pagi tadi.

Sebaik tiba di sini, jenazah kemudian dibawa masuk ke dalam van jenazah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus dibawa ke kediaman ibu bapanya di Kampung Tebengau yang terletak kira-kira satu kilometer dari sekolah itu.

Jenazahnya diuruskan mengikut istiadat kebombaan dengan seramai 200 anggota dan pegawai berpakaian uniform JBPM lengkap bersongkok mengiringi sehingga ke rumah ibu bapanya untuk penghormatan terakhir.

Selepas penghormatan terakhir selesai, jenazah dijangka dikebumikan selepas waktu zohor di tanah perkuburan Masjid As-Saadah, di sini, yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah keluarga Allahyarham.

Turut hadir melawat keluarga dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Mohammad Mentek, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.

Malam tadi, Muhammad Adib yang parah dipercayai dipukul perusuh ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam, di Institut Jantung Negara (IJN).

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Nasional

VIDEO POPULAR