Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR.

Nurul Izzah berkata beliau juga melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.

“Kepimpinan (PKR) telah dimaklumkan mengenai keputusan saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Izzah, yang digelar sebagai ‘Puteri Reformasi’ sejak pembentukan era gerakan ‘Reformasi’ bagaimanapun berkata beliau akan kekal sebagai anggota biasa PKR dan Anggota Parlimen Permatang Pauh sehingga tamat penggal.

“Saya juga tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan persekutuan atas sebarang kapasiti. Saya menyerahkan kepada pimpinan parti untuk membuat keputusan mengenai kedudukan saya dalam syarikat berkaitan kerajaan Pulau Pinang.

“Saya tetap menjadi anggota penyokong kerajaan yang komited pada pembaharuan. Saya juga menyerahkan kedudukan saya sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kepada kepimpinan parti. Terdahulu, saya telah melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Menimbang Rang Undang-Undang,” katanya.

Beliau berkata 9 Mei tahun ini telah menjadi satu titik perubahan antaranya peralihan kuasa di peringkat persekutuan dan rakyat Malaysia menyaksikan perluasan ruang demokratik mereka untuk pembaharuan dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan menyempurnakan agenda reformasi yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan masih belum jelas.

Justeru, beliau berkata adalah penting untuk semua pihak berkepentingan terus mendesak untuk melaksanakan pembaharuan dan juga penerusan dasar dan program oleh kerajaan terdahulu, sekiranya terbukti bermanfaat kepada orang ramai.

Nurul Izzah berkata perjalanan politiknya bermula pada 1998 lebih sebagai kebangkitan politik dan akhirnya menjadi sebahagian daripada kepimpinan pusat PKR.

“Saya berterima kasih kepada anggota PKR kerana memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada mereka selama ini.

“Ada kepercayaan dan idea yang saya junjung tinggi dan saya percaya akan terus bersikap jujur kepada mereka dengan mengambil tindakan yang saya umumkan ini,” tambahnya.

Beliau berkata penyesalannya kini adalah tidak mengumumkannya lebih awal.

“Ia bukan satu keputusan yang mudah. Perkembangan politik yang tidak menentu selama sembilan bulan terakhir ini, dengan pemilihan parti dan kempen pilihan raya umum yang memenatkan.

“Sekarang, saya ada peluang untuk memilih di mana saya harus berada dalam perkara berkaitan politik, saya memutuskan untuk melakukan perkara yang betul. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada kepimpinan dan parti,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR