Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) malam ini melancarkan program sukarela Rakan Motac bagi mencari individu yang ingin membantu mempromosikan industri pelancongan negara menerusi laman media sosial.

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata kementeriannya akan mengenal pasti kira-kira 40 individu yang akan bertindak sebagai ‘social media influencer’ yang turut diminta menggunakan hashtag #visitmalaysia2020 dan #rakanmotac dalam setiap hantaran yang dilakukan di laman media sosial bagi mempromosikan industri pelancongan negara.

“Saya sentiasa terbuka untuk memberikan ruang kepada mana-mana pihak terutama rakan media untuk usaha penambahbaikan dalam memajukan lagi industri pelancongan, seni dan budaya negara.

“Saya berharap dengan inisiatif sebegini dapat memudahkan rakyat mendapat mesej jelas berkaitan hala tuju industri ini,” katanya ketika Majlis Ramah Mesra Bersama Media dan pelancaran Rakan Motac yang dihadiri kira-kira 200 pengamal media di sini, malam ini.

Beliau turut berkata antara kriteria yang akan dinilai untuk menjadi sukarelawan Rakan Motac ialah mempunyai lebih 10,000 rakan di media sosial.

Katanya, mereka akan diberikan penghargaan daripada kementerian apabila melakukan sekurang-kurangnya tiga hantaran di media sosial setiap bulan bermula 1 Jan 2019.

Program seperti ini, katanya, adalah platform untuk memberi maklum balas, pandangan serta menambah baik dasar termasuk menangani isu berkaitan ‘business matter’ kementerian ini dengan lebih santai dan terbuka.

Dalam pada itu, Mohamaddin berkata negara berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 26.1 juta pelancong asing di penghujung 2018 dan yakin sasaran 30 juta pelancong antarabangsa pada 2020 dengan penjanaan perbelanjaan pelancongan RM100 bilion dapat dicapai.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR