Seorang pelumba Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018, Mohd Hafiz Nor Azman maut selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan di Bandar Penawar, Kota Tinggi dekat sini, petang tadi.

Pemergian Mohd Hafiz itu disahkan Malaysian Cub Prix yang memuat naik gambar pelumba muda berusia 22 tahun itu menerusi laman rasmi Facebook mereka, kira-kira 8.45 malam ini (16 Dis).

Difahamkan kenyataan lanjut akan dikeluarkan Malaysian Cub Prix malam ini.

Terdahulu, khabar angin mengenai pemergian Allahyarham beserta video berdurasi 42 saat yang dipercayai menunjukkan detik-detik akhir sebelum terjadi kemalangan menjadi tular di laman sosial Facebook sejak petang tadi.

Berdasarkan beberapa status dimuat naik oleh orang ramai, Allahyarham dipercayai terbabit dalam kemalangan itu sewaktu menyertai perlumbaan akhir kategori CP150.

Mohd Hafiz merupakan anak kepada bekas pelumba, Nor Azman Mad Darus.

Pada tahun ini, Allahyarham yang mewakili Petronas Racing Team-CKJ, menggalas tanggungjawab sebagai pelumba harapan pasukan berkenaan dalam kategori CP150.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR