Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) bakal memperkenalkan semula program latihan kemahiran kraf dengan pentauliahan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di semua cawangannya di seluruh negara.

Ia bertujuan memberi ruang dan peluang kepada generasi muda yang ingin mengikuti pengajian di Institut Kraftangan Negara (IKN) tetapi tidak memenuhi syarat yang ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Program itu, yang akan dikendalikan IKN, diharap menjadi platform untuk mengasah kemahiran kraf golongan berkenaan sekali gus merancakkan industri kraf negara, kata Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail.

“Ramai sebenarnya yang berminat untuk memohon belajar di IKN tetapi tidak melepasi syarat kemasukan. Kita tidak mahu mereka rasa terpinggir kerana ramai yang mahir dalam pembuatan kraf tetapi tidak mendapat bimbingan sewajarnya.

“Justeru itu, inisiatif berkenaan yang dijangka bermula tahun depan diharap membuka laluan kepada calon berbakat untuk mendapatkan latihan dan bimbingan yang lebih formal mengikut standard yang dikehendaki pihak industri,” katanya kepada Bernama pada simulasi Reka-Reka Kraf Rakyat, yang merupakan program pra-PASAREKA 2018, di Kompleks Kraf Johor baru-baru ini.

Aktiviti sehari anjuran Kraftangan Malaysia itu memberi peluang kepada agensi pelancongan, perhotelan, agensi kerajaan dan swasta serta media untuk mencuba bakat dalam menghasilkan produk kraf.

PERSIAP INFRASTRUKTUR

Bagi melaksanakan program latihan kemahiran kraf itu, Kraftangan Malaysia perlu mendapatkan pentauliahan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dahulu untuk menjadi Pusat Bertauliah yang menawarkan SKM.

Sebagai Pusat Bertauliah, ia boleh mengendali latihan kemahiran dan menawarkan Persijilan Kemahiran Malaysia bagi bidang dan tahap kemahiran tertentu berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS).

Terdapat lima tahap SKM dengan Tahap 1 dan Tahap 2 merupakan latihan di peringkat asas iaitu Peringkat Operasi dan Pengeluaran, Tahap 3 (latihan dalam Penyeliaan), Tahap 4 atau Diploma Kemahiran Malaysia (masih dalam peringkat Penyeliaan tetapi lebih kepada peringkat tinggi) dan Tahap 5 atau Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat Pengurusan).

“SKM Tahap 4 adalah peringkat Diploma. Pada masa ini, jika pelatih atau penuntut mahu membina kerjaya, mereka dah boleh memohon (sebab sudah ada diploma). Ramai penuntut IKN yang bekerja dengan agensi kerajaan di pelbagai negeri dengan memanfaatkan ilmu kraf yang mereka pelajari.

“Kita perlu menyiapkan kemudahan serta infrastruktur di cawangan kraftangan terbabit yang akan berperanan sebagai pusat latihan. Contohnya, jika kita nak buat batik di Kelantan, kita perlu pastikan peralatan lengkap dan tenaga pengajar mencukupi.

“Kita juga perlu mengkaji beberapa aspek termasuklah bajet yang perlu diperuntukkan. Sebagai permulaan, kita mungkin akan fokus kepada kumpulan kecil dahulu seramai 20 hingga 30 orang mengikut kemampuan dan kapasiti kemudahan yang kita ada,” kata Ibrahim.

Empat bidang kraf yang dikenal pasti untuk pentauliahan SKM ialah batik di Kelantan, kayu di Pahang, tembaga di Terengganu dan seramik di Perak. Selain ??tenaga pengajar merupakan penuntut IKN yang berkelayakan, institusi itu turut bertanggungjawab memantau setiap program yang akan dijalankan.

Dengan pentauliahan itu dilihat bertepatan dengan hasrat negara untuk memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), beliau berkata: “TVET tidak terhad kepada bidang seperti automotif, kejuruteraan mekanikal mahupun elektronik semata-mata.

“Kraftangan juga adalah antara cabang TVET yang berasaskan seni kemahiran bahkan sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pihak industri selain mampu menjana pendapatan,” katanya.

NILAI KOMERSIL

Penglibatan generasi muda terutama menerusi IKN, peningkatan komuniti kraf pelbagai bidang di negeri-negeri selain kemampuan mencapai sasaran jualan dalam setiap program dijalankan menjadi antara kayu ukur pencapaian industri kraf.

Di samping itu, nilai komersil yang ada pada setiap produk kraf turut menjadi faktor penarik sekali gus menggalakkan lebih ramai masyarakat menceburinya.

“Jika kami bercakap tentang kraf, anjurkan program atau bengkel, ramai yang mahu menyertainya kerana sedar ia boleh memberi pulangan pendapatan. Program yang kami jalankan sentiasa mendapat sambutan contohnya Hari Kraf Kebangsaan dan festival kraf negeri.

“Usahawan dan pereka kraf juga sentiasa mendapat tempahan dan bersemangat untuk melahirkan produk baharu,” katanya.

Industri kraf juga berkait rapat dengan industri pelancongan di mana lebih banyak barang terutamanya kraf cenderamata yang boleh dikeluarkan sebagai produk pelancongan, katanya sambil memberitahu bahawa Kraftangan Malaysia turut menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi bagi melahirkan produk kraf terbaik untuk mewakili negara.

Beliau berpendapat setiap komuniti kraf wajar didaftarkan tidak kira di peringkat mana peranan mereka sama ada sebagai usahawan atau pembekal bahan mentah kerana rantaian ekosistem yang lengkap mampu memperkasa industri kraf dan menjana ekonomi negara.

PASAREKA 2018

Mengenai PASAREKA 2018 atau Design Market 2018, Ibrahim berkata ia merupakan aktiviti yang menghimpunkan kegiatan seni dan kreativiti dalam aspek reka bentuk produk kraf tempatan untuk menawarkan pelbagai karya kreatif dan inovatif.

Bakal berlangsung pada 15 hingga 18 Dis di Kompleks Kraf Johor, program itu menjadi medan bagi mencungkil idea baharu untuk mengetengahkan produk yang sebelum ini mungkin ketinggalan selain memperluas rantaian perniagaan komuniti kraf baik dalam pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

Dengan mengangkat tema produk Kraf Rakyat (Folk Craft), yang merangkumi alat muzik tradisional, permainan tradisional dan kraf miniature atau busana tradisional, PASAREKA 2018 juga bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Sempena Tahun Melawat Malaysia, Kraftangan Malaysia perlu bersedia dengan banyak cenderamata yang menggambarkan identiti Malaysia kerana pelancong mahukan produk tempatan.

“Keupayaan mentransformasi produk asal kepada pelbagai bentuk dan rekaan yang membolehkan cenderamata mudah dibawa pulang, pasti akan memberi nilai tambah kepada produk sekali gus menarik minat pelancong,” katanya sambil menekankan bahawa produk kraf bukan lagi ‘produk kampung’ kerana ia kini mempunyai nilai komersil yang tinggi dan turut diusahakan komuniti di bandar.

Johor merupakan lokasi kedua PASAREKA selepas diadakan di Kuala Lumpur pada 2017. Program itu akan diperluas ke negeri-negeri lain melalui jerayawara yang mengetengahkan produk kraf komuniti setiap negeri terutama Sabah dan Sarawak yang mempunyai pelbagai produk menarik dan berpotensi untuk diketengahkan.

Selain Reka-Reka Kraf Rakyat yang berbentuk pendidikan kraf, aktiviti lain PASAREKA 2018 termasuklah Pameran Produk Baru, Designer’s Talk (seminar bersama personaliti industri kreatif), Pocket Talk (bual bicara bersama pereka jemputan dan pemain industri) dan Design Market (jualan produk kraf).

“Pada PASAREKA 2018, Kraftangan Malaysia akan berkolaborasi dengan syarikat luar untuk menghasilkan ukiran kraf dalam bentuk perabot. Kita tak mahu produk kita ‘ketinggalan zaman’ dan perlu sentiasa mengikut trend semasa,” katanya sambil memberitahu pihaknya juga akan bekerjasama dengan beberapa pereka untuk menghasilkan rekaan batik yang menepati citarasa pasaran dan kontemporari.

PASAREKA 2018 akan diketengahkan pada Festival Kraf Johor di Angsana, Johor Bahru Mall di sini pada 20 hingga 30 Dis ini.

Untuk Festival Kraf Johor, Kraftangan Malaysia menyasarkan penyertaan kira-kira 300 usahawan kraf dan jualan dijangka mencecah RM7 juta berbanding RM5 juta pada 2016.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR