Rawatan dadah gantian Metadon, juga dikenali sebagai MAT (Medication Assisted Treatment) dilaksanakan di negara ini hampir 13 tahun lalu. MAT membantu ramai penagih dadah jenis Opioid memulakan hidup baharu dan bebas daripada pengaruh dadah.

Rencana ini adalah yang akhir daripada tiga siri, membincangkan mengenai manfaat methadone pada pesakit yang ketagihan opioid.

Perubahan fizikal tubuhnya yang nampak “sado” dengan lengan berotot menggambarkan beliau seorang yang aktif bersenam di gim.

Satu ketika dahulu, dia umpama rangka bergerak dengan berat badan hanya 40 kilogram berbanding beratnya sekarang yang mencecah 80 kilogram.

Bapa kepada lima orang anak yang mahu dikenali dengan nama Bard, 51, hampir hancur hidupnya disebabkan masalah ketagihan dadah tegar yang dihadapinya.

Lebih separuh daripada usianya dihabiskan dengan mengambil dadah jenis heroin sehinggalah dia diperkenalkan dengan metadon 10 tahun lalu, lantaran itu mengubah hidupnya.

PENGALAMAN AMBIL METADON

Berkongsi pengalamannya dengan penulis, Bard berkata kehidupannya kembali normal selepas tiga bulan mengambil metadon.

Setiap pagi “sirap merah” itu diminum bagi membantunya melupakan heroin yang sebelum itu menjadi keutamaan hidupnya.

“Saya beli RM25 untuk 5 mililiter(ml) di sebuah klinik di Chow Kit sekitar 2008.

“Apabila tahu ada rawatan metadon di klinik kerajaan, saya cuba mendaftar tetapi tidak ada kekosongan, sehinggalah saya dibawa oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk mengikuti program rawatan methadone mereka, sampai sekarang,” katanya yang pernah menjalani hukuman penjara sebanyak tiga kali atas kesalahan jenayah.

Tiga minggu pertama pengambilan dia diberikan dos rendah iaitu 5ml, bagi menyesuaikan ubat itu dengan badannya.

Kemudian, dos dinaikkan sedikit demi sedikit sehingga mencapai keperluan maksimum badannya, iaitu 30ml.

Ketika dos rendah, rasa gian terhadap dadah itu tetap ada, jadi dia terpaksa “menyulam” dengan mengambil heroin.

“Apabila sudah cukup dengan keperluan badan, saya langsung tidak mengambil dadah lagi. Setakat ini air kencing saya negatif dan saya berharap ini akan berterusan sampai bila-bila,” katanya yang kini menjalankan perniagaan dalam bidang grafik.

Beliau mengakui berlaku kesan sampingan kepada badannya pada tahun pertama mengambil metadon iaitu rasa mengantuk, kurang keinginan seks dan susah untuk buang air besar. Bagaimanapun apabila ubat itu semakin sebati di dalam badannya, kesan sampingan pun hilang.

TEKAD BERHENTI DADAH

Bard bertekad untuk berhenti mengambil dadah apabila melihat anak-anaknya semakin membesar, lebih-lebih lagi menyedari bahawa kehidupan keluarganya sering berhadapan pelbagai masalah disebabkan ketagihannya.

Kini anak sulung dan kedua, masing-masing berusia 30 dan 28 tahun sudah berkahwin dan berkeluarga manakala tiga lagi yang berumur 19, 17 dan 13 masih belejar.

Menurutnya lagi, sebelum tahu mengenai metadon, dia pernah mencuba pelbagai ubat untuk menghilangkan ketagihan seperti meminum air ketum dan ubat seperti subutex tetapi gagal menghilangkan sindrom tarikan gian.

Setiap hari dia membelanjakan kira-kira RM80 hingga RM100 untuk membeli dadah bagi memenuhi giannya yang berulang-ulang setiap tiga atau empat jam.

“Ketika itu duit habis beli dadah sahaja. Selepas mengambil metadon baru saya boleh fokus pada perkerjaan dan perniagaan, malah dapat menyimpan duit serta mengumpul sedikit harta untuk keluarga.

“Masa mengambil dadah dahulu, semua barang yang dibeli akan dijual untuk mendapatkan bekalan dadah, jadi kami tidak punyai apa-apa,” katanya.

SOKONGAN KELUARGA

Insan yang paling gembira dengan perubahan Bard adalah isterinya, Ina, 50 yang banyak berkorban dan bersabar sepanjang hampir 32 tahun perkahwinan mereka.

Dengan metadon yang bertindak sebagai terapi gantian dadah, suaminya mampu menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

Perubahan paling ketara yang dapat dilihat adalah sikap panas baran suaminya yang kini semakin hilang, malah berubah menjadi bapa yang lebih bertanggungjawab.

“Jika dahulu, rumahtangga kami tidak pernah aman. Hampir setiap hari bergaduh. Bila sudah ambil heroin, dia jadi panas baran, gelisah dan tidak tentu arah bila balik ke rumah.

“Selalunya anak yang sulung dan kedua sering jadi mangsa kemarahannya,” katanya yang bekerja sebagai guru di sebuah tadika di sini.

Ina yang sentiasa menyokong setiap usaha merawat masalah ketagihan dadah suaminya berkata beliau faham bahawa Bard benar-benar ingin berubah apabila suaminya itu mencuba pelbagai jenis ubat untuk meninggalkan ketagihan heroinnya.

Pelbagai usaha dilakukan namun hanya metadon yang nampak berjaya menjadikan suaminya normal kembali.

“Dah bermacam-macam yang suami cuba untuk berhenti tetapi masih tidak berjaya sehingga dia bertemu pihak AADK pada 2008 untuk menjalani rawatan metadon.

“Saya pun selalu ikut mendengar penerangan AADK dan sejak mengikuti rawatan metadon di klinik Cure And Care di San Peng, memang nampak perubahannya,” katanya.

Pada tiga bulan pertama rawatan, sudah menampakkan perubahan dan berterusan sehingga sekarang. Paling ketara berat badannya yang semakin meningkat kerana selera makannya sudah kembali normal.

“Keluarga perlu memainkan peranan terutama sokongan yang tidak boleh berbelah bahagi sekiranya ada anggota keluarga yang menagih dadah.

“Ini akan membantu proses rawatan kerana mereka adalah pesakit kronik yang perlu bergantung kepada ubat,” katanya.

METADON PENYELAMAT HIDUP

Sementara itu bagi Ayie (bukan nama sebenar), 43, yang ditemui di Poliklinik Khafidz untuk mengambil metadon menyifatkan ubat itu sebagai penyelamat hidupnya.

Bapa kepada lima anak itu terlibat dalam penagihan dadah heroin sejak 17 tahun lalu.

“Semua penagih tegar seperti saya mempunyai hasrat untuk berhenti daripada ketagihan. Cuma kuat atau tidak sahaja untuk berhenti mengambil dadah,” katanya.

Bekerja sebagai penyelia di sebuah kedai perkakasan rumah, dia mengambil metadon sejak dua tahun lalu.

“Saya dah letih dengan dadah jadi saya nekad untuk keluar daripada masalah ini. Apabila rakan-rakan memberitahu mengenai rawatan metadon, saya terus datang ke klinik ini dan setakat ini tidak ada lagi dadah masuk ke dalam badan saya,” katanya.

Setiap hari dia perlu mengambil 20ml metadon untuk merawat gian heroin bagi membolehkannya bekerja dan menguruskan keluarganya.

“Memang jauh bezanya sebelum mengambil metadon berbanding sekarang. Dulu saya tidak ada pekerjaan tetap sebab tidak boleh menguruskan diri sendiri apatah lagi keluarga.

“Tapi sekarang hidup saya lebih teratur, boleh mencari rezeki dan membesarkan anak-anak seperti keluarga lain,” katanya sambil menambah bahawa keluarga, terutama isterinya banyak membantu sepanjang proses rawatan yang dilaluinya sekarang.

(Bernama)

Share
Kategori: Kesihatan

VIDEO POPULAR