Dataran Merdeka bergema dengan ‘ngauman’ ribuan penyokong Harimau Malaya yang menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dengan Vietnam malam ini.

Tinjauan Bernama mendapati hujan sama sekali tidak melunturkan semangat penyokong yang sudah membanjiri kawasan itu sejak petang tadi sebelum sepak mula pada 8.30 malam yang ditayangkan menerusi  tiga skrin gergasi.

Nasib tidak menyebelahi pasukan negara apabila terpaksa tunduk kepada Vietnam dengan keputusan agregat 3-2 selepas tewas 0-1 kepada tuan rumah perlawanan final kedua di Stadium My Dinh, Hanoi.

“Kalah, menang adat pertandingan…agak kecewa tapi bukan rezeki kita untuk menang. Sebagai penyokong kami sentiasa ‘mengaum’ dan ‘mengekori’ harimau kita,” kata Mohd Shaharuddin Ahmad, 24, yang kelihatan basah kuyup menonton siaran langsung itu sehingga tamat perlawanan.

Seorang pelajar institusi pengajian tinggi, V. Reshavan, 22, pula teruja melihat sokongan padu yang ditunjukkan semua kaum di Dataran Merdeka kepada pasukan negara.

“Ini kali pertama saya menonton secara langsung dengan ribuan rakyat Malaysia, semua kaum ada di sini dan kita sama-sama bersorak untuk pasukan Harimau Malaya,” katanya.

Sementara itu, Asiah Saleh, 53, tidak menjadikan keadaannya yang berkerusi roda sebagai penghalang untuk hadir ke situ untuk memberi sokongan kepada pasukan negara.

“Memang saya nak sangat datang sini dan rasa sendiri semangat penyokong Malaysia, tengok (siaran langsung) di rumah kurang rasanya,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR