Walaupun pasukan Harimau Malaya tewas di Hanoi, semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang memberi sokongan padu kepada skuad bola sepak negara harus dipuji, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith.

Eddin Syazlee turut meluahkan kegembiraannya melihat rakyat di Kuala Pilah yang berbilang kaum dan agama terutamanya anak-anak muda bersama-sama hadir menyaksikan perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 menerusi tayangan skrin gergasi.

“Program seperti ini patut dijalankan secara kerap kerana ia bukan sahaja merapatkan lagi hubungan antara pemimpin dengan rakyat malah memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Menang kalah itu adat pertandingan yang penting di sebalik kekalahan ini telah membuktikan bahawa sukan berjaya menyatupadukan semua sekali gus meningkatkan semangat kesukanan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018  di sini, malam ini.

Eddin Syazlee hadir bagi menyaksikan perlawanan itu yang turut disertai kira-kira 500 peminat bola sepak tanah air yang ditayangkan secara langsung melalui skrin gergasi di perkarangan pejabat Anggota Parlimen Kuala Pilah itu.

Meskipun dalam keadaan hujan, para peminat tegar skuad Harimau Malaya tidak berganjak dari lokasi berkenaan sehingga tamat perlawanan yang menyaksikan Vietnam muncul juara selepas menewaskan Malaysia dengan agregat 3-2 selepas menumpaskan Malaysia 1-0, malam ini.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR