“Kami sudah berikan yang terbaik,” itu yang diungkapkan pemain pertahanan negara, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak selepas Malaysia tewas 0-1 kepada Vietnam pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional My Dinh, semalam.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe tewas dengan keputusan agregat 3-2 selepas seri 2-2 Selasa lepas, dalam aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Aidil Zafuan, yang juga tunggak pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui kecewa dengan kekalahan itu, namun menzahirkan rasa terima kasih kepada seluruh penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan sejak kejohanan dwi tahunan itu bermula.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyokong dari awal. Ini lah bola sepak…kami sudah buat yang terbaik untuk perlawanan ini. Siapa sangka pasukan Malaysia yang tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan, boleh sampai ke final.

“Pasukan sudah berikan segalanya mungkin rezeki kami hanya menduduki naib johan. Kami minta maaf kerana piala kejuaraan tidak dapat dibawa pulang ke Malaysia,” katanya selepas perlawanan berkenaan.

Pada aksi semalam, gol sulung Vietnam hadir menerusi Nguyen Anh Duc seawal minit keenam selepas skuad kendalian jurulatih dari Korea Selatan Park Hang-Seo bermula garang sejak wisel permainan ditiupkan.

Menurut Aidil Zafuan, jaringan itu ternyata memberi tekanan kepada pasukan sekali gus merencatkan taktikal serta rentak permainan.

“Mungkin gol awal itu buat kita susah nak cari gol penyamaan ataupun usaha untuk mendahului. Ini adalah final, apa-apa sahaja boleh terjadi,” tambahnya.

Ini adalah kali ketiga Malaysia menamatkan kejohanan itu selaku naib johan selepas kali pertama pada edisi 1996 diikuti 2014.

Dalam perkembangan sama, Aidil Zafuan mahu ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe terus dikekalkan sebagai pengendali skuad Harimau Malaya.

Beliau menyifatkan jurulatih berusia 50 tahun itu cukup dedikasi dalam menjalankan tugasnya selain sentiasa berusaha untuk membawa skuad negara ke tahap yang lebih baik.

Jelas Aidil Zafuan, ia dibuktikan dalam kempen Piala AFF Suzuki 2018 apabila Cheng Hoe menepati sasaran membawa Malaysia ke pentas final yang diletakkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini menjelaskan nasib Cheng Hoe hanya akan ditentukan selepas beliau mendapat laporan penuh berhubung prestasi skuad Harimau Malaya dalam kejohanan itu.

Cheng Hoe dilantik sebagai pengendali skuad negara pada Disember tahun lalu, menggantikan Nelo Vingada dari Portugal yang melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih pasukan kebangsaan walaupun baru mengendalikan skuad negara selama tujuh bulan.

Harimau Malaya memperbaiki ranking daripada kedudukan 174 kepada 167 di dunia selepas Vingada meninggalkan pasukan negara.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR