Syarikat pengeluar produk herba berpangkalan di Amerika Syarikat, Sunrider International, menyasar untuk menggandakan jualan bagi anak syarikat Malaysianya, Sunrider International (M) Sdn Bhd, tahun depan, susulan pembukaan bangunan pejabat baharu di Jalan Ampang.

Pengasas dan Pengerusi Sunrider International, Dr Tei Fu Chen, berkata pasaran Malaysia mencatatkan jualan tahunan RM25 juta.

“Kami percaya, dengan keperluan untuk kesihatan, kebebasan kewangan, pengurusan masa dan keselamatan yang Sunrider tawarkan, pasaran sentiasa ada dan berpotensi untuk berkembang,” katanya kepada Bernama selepas perasmian pejabat berkenaan, di sini, baru-baru ini.

Pengarah Operasi Serantau Sunrider, Shirley Tay, berkata pasaran Malaysia menyaksikan jualannya meningkat 30 peratus selepas syarikat berkenaan memulakan konsep perniagaan jualan langsung, awal tahun ini.

“Kami perlu bekerja keras untuk pasaran Malaysia memandangkan terdapat potensi peluang yang boleh diraih dan mengembangkan perniagaan lebih besar,” katanya.

Tay berkata, produk penjagaan kesihatan menyumbangkan majoriti jumlah jualan dan selebihnya daripada produk kecantikan dan barangan rumah.

“Kami sudah melabur RM7 juta untuk membina dan mengubahsuai bangunan pejabat berkenaan yang meliputi kawasan seluas 45,300 kaki persegi di tanah milik kami.

“Apabila kami memulakan operasi pejabat baharu ini bulan lepas, maklum balas adalah amat menggalakkan dengan majoriti pelanggan yang datang adalah warga asing, justeru kami percaya bahawa lokasi ini adalah strategik di mana pejabat kedutaan, pusat membeli belah, restoran dan hotel berada di sekitarnya,” tambahnya.

Memulakan pejabat operasi di Kuala Lumpur pada 1989, Sunrider Malaysia kemudiannya menjadi Pejabat Serantau untuk Asia Selatan, merangkumi operasi dan pertumbuhan bagi pejabat Sunrider di Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam sejak tahun 2000.

Diasaskan oleh Dr Tei, pakar herba terkenal dunia yang memiliki ijazah dalam bidang farmasi, bersama isterinya, Dr Oi Lin Chen, doktor perubatan yang mendapat latihan di Barat, kedua-duanya memulakan Sunrider dari pejabat kecil di Utah, Amerika Syarikat (AS).

Dengan keinginan menolong mereka yang memerlukan dan membantu memberikan inspirasi kepada mereka untuk hidup dengan sebaik mungkin, membawa pasangan berkenaan mengembangkan perniagaan ini ke seluruh dunia.

Sehingga kini, Sunrider mengedarkan lebih 400 produk yang memenangi anugerah ke 50 negara dan rantau. Ia mempunyai enam kilang pengeluaran yang terletak di AS (1), China (3), Singapura (1) dan Taiwan (1).

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR