Parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) perlu membuat pertimbangan dengan berhati-hati dan cermat sebelum menerima pemimpin dan wakil rakyat pembangkang ke dalam parti masing-masing.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini bagi memastikan kemasukan mereka tidak mengundang kemarahan rakyat terhadap PH.

“Kalau pemimpin-pemimpin UMNO dan ahli Parlimen mereka yang mana mereka ini adalah punca kemarahan rakyat dan dengan menerima mereka itu menyebabkan marah rakyat itu berpindah kepada PH, saya ingat aspek itu pemimpin PH perlu teliti dan kena pertimbangkan dengan cermat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan zakat Suruhanjaya Syarikat Malaysia di sini, hari ini.

Saifuddin diminta mengulas mengenai tindakan parti komponen PH yang menerima kemasukan pemimpin dan wakil rakyat UMNO sehingga menimbulkan perasaan tidak senang kepada sesetengah pemimpin PH dan rakyat.

Katanya, Majlis Presiden PH telah membincangkan mengenai senario itu sudah lama iaitu tujuh bulan dahulu dan telah membuat ketetapan sebagai garis panduan untuk semua parti dalam PH sebelum menerima pemimpin dan wakil rakyat pembangkang.

“PH telah menggariskan ketetapan agar ahli Parlimen pembangkang yang ingin menyertai kita mereka perlu umum keluar parti lama mereka terlebih dahulu dan perlu menunggu satu tempoh masa sebelum memohon untuk masuk ke dalam parti PH.

“Kemudian parti-parti komponen akan menilai permohonan mereka dan tengok case by case supaya punca kemarahan rakyat tidak akan berpindah secara percuma kepada kita,” katanya.

Jumaat lalu, enam Anggota Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti berkuatkuasa serta merta.

Mereka ialah Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid; Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh; dan Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Sebelum itu, pada Rabu hampir keseluruhan barisan kepimpinan UMNO Sabah termasuk lima anggota Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri dan dua senator mengumumkan keluar parti dengan alasan parti itu tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Nasional

VIDEO POPULAR