Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu mempelawa anggota UMNO untuk menyertai parti tersebut berikutan UMNO kini diibaratkan sebuah perahu yang sedang bocor dan karam.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan itu menjelaskan setiap permohonan anggota parti itu akan diteliti terlebih dahulu. 

“Memang ada yang intai Amanah dan kita mengalu-alukan mereka tapi kita akan melihat permohonan tersebut ‘case by case’.

“Kita juga akan melihat jika mereka menyokong Rahmatan Lil Alamin (rahmat bagi sekalian alam) dan mengakui bahawa perbuatan rasuah itu tidak betul,” katanya dalam ucapan penggulungan dan penangguhan Konvensyen Amanah Nasional 2018 di sini, hari ini (16 Dis). 

Konvensyen tiga hari itu yang bermula Jumaat disertai 1,000 perwakilan dan 3,000 pemerhati dari dalam dan luar negara.

Menjelas lanjut, Mohamad secara sinis berkata Barisan Nasional (BN) kini umpama patah pinggang dan tulang belakang selepas semakin ramai anggota, pemimpin dan wakil rakyat UMNO yang merupakan komponen terpentingnya meninggalkan parti tersebut.

“MCA pula tinggal satu kerusi, MIC ada dua tapi satu lagi akan hilang (Cameron Highlands) ,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad mengingatkan anggota parti supaya mengambil ikhtibar daripada kejatuhan BN dengan sentiasa mengutamakan perbincangan dalam segala isu.

“Jika ada selisih faham kita bincang dengan baik, jika pecah Pakatan Harapan (PH) relailah harapan rakyat dan inilah yang berlaku pada BN,” katanya.

Mohamad juga optimis sokongan orang Melayu terhadap Amanah pada pilihan raya umum akan datang bakal meningkat berdasarkan trend kemasukan ramai anggota baharu.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Nasional

VIDEO POPULAR