Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menerima ijazah kedoktoran kehormat dalam kepimpinan sosial, perniagaan dan politik daripada Rangsit University (RUS) Thailand di kampus induknya di daerah Mueang Pathum Thani, 30 kilometer dari sini.

Dr Mahathir dianugerah ijazah kehormat itu pada majlis konvokesyen ke-34 universiti berkenaan di mana 5,950 graduan universiti itu turut menerima ijazah masing-masing dalam sesi yang diadakan pada sebelah pagi dan tengah hari.

Perdana Menteri Malaysia itu merupakan tokoh umum berprofil tinggi keempat yang dianugerah ijazah kedoktoran kehormat oleh universiti berkenaan selepas mendiang Puteri Srinagarindra (aka Somdet Ya), Raja Bhutan Jigme Khesar Namgyel Wangchuck (2009) dan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe (2016).

Majlis penganugerahan berwarna-warni di Bangunan Gimnasium yang tersergam itu berlangsung penuh tradisi, dengan Dr Mahathir dipersilakan ke bilik resepsi dan disarungkan jubah kedoktoran baldu merah serta hitam.

Isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut diberi penghormatan untuk memakai jubah baldu biru serta merah dan mengiringi suami beliau ke atas pentas.

Majlis itu dimulakan dengan nyanyian ‘Negaraku. dan lagu kebangsaan Thailand oleh 40 anggota Rangsit University Orchestra di bawah pimpinan Vanich Potavanich.

Ini diikuti oleh penyampaian ucapan sanjungan oleh Presiden RUS Dr Arthit Ourairat yang memuji pelbagai pencapaian Malaysia di bawah kepimpinan Dr Mahathir dan perjuangan beliau menentang ketidakadilan sosial serta ekonomi bagi semua.

Beliau turut menyentuh usaha Dr Mahathir untuk memulihkan ekonomi negara termasuk mendapatkan semula kekayaan yang hilang akibat skandal 1MDB.

Selepas menyampaikan ucapan sanjungan itu, Arthit menyerahkan kepada Dr Mahathir topi akademik kedoktoran, sijil serta sebuah plak.

Ia disusuli dengan ucaptama Dr Mahathir di mana beliau berkata: “Saya berasa terharu dengan pengiktirafan ini dan berbesar hati untuk menerima penghormatan ini sebagai perdana menteri Malaysia dan bagi pihak negara saya. Saya sesungguhnya amat menghargai pengiktirafan ini dan saya akan berusaha untuk terus menyumbang kepada rakyat Malaysia dan negara di seluruh dunia.

“Saya gembira kerana diberi peluang untuk berucap kepada pelajar universiti ini, anda semua adalah pemimpin hari esok dan harapan bagi generasi masa depan. Ke arah itu, universiti mempunyai peranan penting dalam menyediakan peluang dan sokongan kepada pelajar untuk meneroka pengetahuan baharu dan merealisasikan potensi mereka,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau mengambil maklum bahawa RUS telah bergerak ke arah menjadi sebuah universiti penyelidikan dan berharap agar kerjasama dapat dijalin antara RUS serta universiti di Malaysia.

Selepas ucapan itu berakhir, lagu berjudul ‘Dreamland Will Shine’ yang ditujukan khas buat Dr Mahathir didendangkan oleh Areeya Rotajanadit.

Susunan muzik dikendalikan dekan konservatori muzik RUS Dr Denny Euprasert dengan gubahan melodi oleh beliau sendiri manakala lirik pula hasil nukilan Pisamai Chandavimol.

Lirik lagu itu berkisar tentang usaha dan pengorbanan oleh seorang pemimpin yang berdedikasi.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Dr Mahathir berkata beliau bukan sahaja berasa terharu, bahkan turut mengagumi lagu yang ditujukan khas buat beliau, sesuatu yang baharu bagi dirinya jika dibandingkan dengan pelbagai sanjungan yang diterimanya sehingga kini.

RUS telahpun mewujudkan jaringan kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi di Malaysia, antaranya Universiti Utara Malaysia dan UniKL.

Turut hadir dalam majlis itu ialah anggota delegasi dari Malaysia termasuk Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, para pegawai kerajaan dan wakil daripada beberapa universiti di Malaysia.

Majlis konvokesyen Rangsit University juga disiar secara langsung menerusi https://m.facebook.com/rangsituniversity.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR