Penyelenggaran sistem perparitan khususnya di kawasan rendah di sini dipergiatkan sejak Oktober lalu, dalam usaha mengurangkan kesan banjir. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Abd Rahim Muda berkata pelaksanaannya dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). 

“Banjir yang berlaku di Kuantan sejak Khamis lalu juga bukan berpunca akibat longkang atau sistem perparitan yang tidak diselenggara, sebaliknya akibat hujan lebat berterusan. 

“Keadaan (banjir) hampir pulih pada hari ini, namun kita akan terus mempergiatkan kerja penyelenggaran sistem perparitan sebagai persediaan menghadapi gelombang banjir kedua,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Berkhatan Perdana di sini, hari ini (15 Dis).

Majlis anjuran Kelab Komuniti Teruntum dengan kerjasama UMNO Bahagian Kuantan itu disertai 60 kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun.

Abd Rahim menambah gelombang kedua dijangka berlaku dalam tempoh terdekat jika hujan lebat berterusan selain fenomena air pasang besar yang dijangka pada 23 Dis ini. 

Beliau menasihatkan penduduk di kawasan rendah untuk membuat persediaan sewajarnya supaya boleh terus berpindah sekiranya pihak berkuasa mengarahkan mereka berbuat demikian. 

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Tempatan

VIDEO POPULAR