Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyeru graduan perubatan yang sedang menunggu penempatan latihan perubatan (housemanship) supaya menyertai Program Mentor Mentee, agar seiring dengan pengetahuan perubatan mereka.

Presidennya Dr Mohamed Namazie Ibrahim berkata menerusi program sukarela ini, graduan akan ditempatkan di klinik berdekatan rumah mereka sebagai mentee.

“Melihat kepada senario masa kini, kebanjiran graduan perubatan sudah pasti memanjangkan tempoh menunggu mereka sebelum dipanggil untuk membuat housemanship, hasilnya, graduan perubatan ini melakukan pelbagai pekerjaan sampingan untuk memastikan mereka terus bertahan sebelum memasuki kerjaya perubatan.

“Apa yang paling membimbangkan kami adalah ilmu pengetahuan perubatan yang mereka peroleh sepanjang enam tahun yang sukar atau lebih, akan hilang jika mereka tidak melaksana atau mengamalkan ilmu perubatan untuk tempoh tertentu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini (15 Dis).

Dr Mohamed Namazie berkata pada masa ini, MMA menerima maklum balas menggalakkan daripada pengamal am yang telah mendaftar nama mereka sebagai mentor dan mereka sanggup menyediakan latihan praktikal perubatan secara percuma.

Bagaimanapun katanya, memandangkan program ini secara sukarela, tidak akan ada bayaran untuk mentor dan mentee.

Graduan perubatan yang berminat untuk menyertai program ini boleh menghubungi Sekretariat MMA di [email protected] untuk maklumat lanjut, katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR